TPM tiba di London untuk lawatan rasmi

Dr Wan Azizah disambut pegawai dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta ketua-ketua perwakilan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia sebaik tiba di hotel penginapan beliau semalam. - Foto Bernama
Dr Wan Azizah disambut pegawai dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta ketua-ketua perwakilan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia sebaik tiba di hotel penginapan beliau semalam. - Foto Bernama
A
A
A

LONDON - BRITAIN. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di sini Rabu untuk lawatan rasmi selama tiga hari ke United Kingdom.

Pesawat yang membawa Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu mendarat di Lapangan Terbang Heathrow, London di sini pada 3.25 petang waktu tempatan (waktu di Malaysia lapan jam lebih awal dari United Kingdom).

Ketibaan beliau di lapangan terbang disambut oleh Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Mohd Suhaimi Jaafar dan isteri, Fazdiana Daud.

Di hotel penginapan beliau, Dr Wan Azizah disambut Timbalan Menteri Luar, Senator Datuk Marzuki Yahya dan para pegawai dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta ketua-ketua jabatan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.

Ini merupakan lawatan sulung rasmi Dr Wan Azizah ke UK selepas dilantik timbalan perdana menteri pada 21 Mei selepas Pakatan Harapan mencapai kemenangan pada PRU14.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dijadual menyampaikan ucaptama pada Forum Kepimpinan Muslim Dunia (WMLF) 2018, forum dwi tahunan selama dua hari yang menghimpunkan para pemimpin dasar, ahli parlimen, pakar dan sarjana, komuniti antara agama, aktivis, pengamal pembangunan dan pemimpin korporat.

Semasa lawatan, beliau mempunyai jadual yang padat termasuk melawat ke Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), yang mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan berkereta dari metropolitan London, dan mengambil bahagian dalam perbincangan dengan para sarjana.

Dr Wan Azizah juga akan bertemu rakyat Malaysia yang menetap di UK pada “Sesi Ramah Mesra Rakyat Malaysia Bersama YAB Timbalan Perdana Menteri” yang akan diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Dr Wan Azizah dijadual mengadakan siri pertemuan dengan beberapa sarjana Islam yang tersohor dan dijangka bertemu Lord Ahmad of Wimbledon, yang juga Menteri Negara bagi Komanwel dan Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Utusan Khas Perdana Menteri mengenai Kebebasan Agama atau Kepercayaan.

Dr Wan Azizah juga akan mengambil bahagian dalam sesi perbincangan meja bulat dengan pelabur dan syarikat terkemuka dari Britain, yang dianjurkan oleh Asia House.

Aturcara lain yang dijadualkan bagi beliau ialah melawat ke London Central Mosque Trust dan Pusat Kebudayaan Islam serta mengadakan pertemuan dengan para sarjana Islam tempatan. - Bernama