Padah bermain meriam karbaid

Ketiga-tiga tertuduh ketika hadir di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, pada Jumaat.
Ketiga-tiga tertuduh ketika hadir di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, pada Jumaat.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang pembantu kedai makan dan pekerja kilang didenda RM100 di Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah bermain meriam karbaid di Jalan Permatang Rawa di, sini pada 7 April lalu.

Muhammad Shahrul Izzuan Kamaruaman, 28, dan Muhammad Nawar Md Shariff, 28, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi kanak-kanak berusia bawah 18 tahun di hadapan sebuah kedai makan kira-kira jam 11 malam.

Mereka didakwa dengan sengaja menyalakan meriam karbaid yang diletakkan di dalam paip PVC bertujuan menembak mercun ke udara.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 3 (5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang dibaca bersama Sekeyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sebulan atau denda RM100 atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua tertuduh membayar denda yang dikenakan terhadap mereka.

Bagi tertuduh kanak-kanak, mahkamah menetapkan semula kes pada 26 Mei depan bagi mendapatkan laporan akhlak.

Sementara itu dalam kamar yang sama, seorang lelaki dikenakan denda RM100 selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menularkan video cara bermain mercun jenis meriam karbaid.

Abd Rahman Noorudin, 33, didakwa melakukan kesalahan itu pada tarikh, lokasi dan masa yang sama dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu ketenteraman awam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda RM100 jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Catherine Joysce.