Ahli perniagaan didakwa guna kekerasan jenayah terhadap penjawat awam

Soon Tiek (kanan) ketika hadir di Mahkamah Majistret Georgetown pada Jumaat.
Soon Tiek (kanan) ketika hadir di Mahkamah Majistret Georgetown pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam ketika menjalankan tugas.

Tertuduh, Ho Soon Teik, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret R Manomani.

Mengikut pertuduhan, Soon Teik didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam iaitu Ahmed Shahjahan Yusoff, 31, daripada menjalankan kewajipannya yang sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan restoran Jack & Grill Western Food yang beralamat di 288E-1-8 Fortune Court dalam daerah Timur Laut kira-kira jam 9.24 pagi pada 14 April lalu.

Bagi kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar manakala tertuduh diwakili peguam, K Mahendren dan Chan Hui Ching.