X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Hujah di Facebook bantu Najib kekalkan populariti

Shahrir
A
A

JOHOR BAHRU - Datuk Seri Najib Tun Razak dapat mengekalkan popularitinya selepas tidak menjadi Perdana Menteri kerana ramai pihak bersimpati dan empati dengan tindakan undang-undang terhadapnya di samping hujah beliau di Facebook yang didakwa berkesan.

Veteren UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, ramai pihak terpegun melihat ketabahan Ahli Parlimen Pekan itu yang diserang dan berdepan pelbagai tuduhan termasuk kes di mahkmah.

"Ia 'overkill' (keterlaluan), saya kata. Bila 'overkill', boleh membawa kepada perasaan kesian, 'sympathy' (simpati) dan boleh bertukar kepada 'empathy' (empati)," katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook miliknya, pada Jumaat.

Shahrir selaku Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, Facebook Najib juga memainkan peranan dengan membawa pandangan dan penjelasan tanpa sebarang sekatan atau suntingan seperti sering berlaku dalam media arus perdana.

"Orang ramai mengikuti Facebook beliau kerana fakta dan hujahan yang munasabah sehingga ia lebih berkesan dari bercakap dalam Dewan Rakyat. Walaupun Parlimen ialah institusi tertinggi demokrasi, tetapi banyak pihak boleh berpakat untuk memperlekehkan hujahan beliau.

"Sebaliknya di Facebook, ia bergantung pada jumlah yang bersetuju dengan fakta dan asas hujahan. Fakta dan hujahan berasas itu yang membuat Najib terus popular dan berpengaruh," katanya.

Selain itu, beliau berpendapat, masih ramai pihak yang menerima manfaat sepanjang pentadbiran Najib sebagai Perdana Menteri yang dirasakan jauh lebih baik berbanding ketika ini.

"Mereka tahu masa itu lebih baik dari masa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, malahan sehingga kini masih terpakai lagi konsep bantuan bersasar mengikut kumpulan sosioekonomi," katanya.

Tambah beliau, projek Pusat Transformasi Bandar (UTC) masih menjadi tumpuan, Klinik 1Malaysia dan Pusat Komputer 1Malaysia masih dirindui.

"Terlalu banyak peninggalan Datuk Seri Najib yang bermanfaat kepada rakyat sehingga kini, sebab itu ramai yang mengenang jasanya," kata Shahrir.

Shahrir turut mengakui pengaruh dimiliki Najib amat membantu usaha pemulihan parti berkenaan khususnya di peringkat akar umbi.

Tambah beliau, pendirian Najib yang tetap bersama parti, UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja membantu malahan menjadi inspirasi kepada ahli-ahli parti apabila melihat seorang pemimpin yang sedang dilanyak begitu hebat tetapi tetap bersemangat mempertahankan parti.

"Tidak sepatah pun meminta pertolongan daripada parti tetapi tetap menolong parti," katanya lagi.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!