NZ anjur majlis peringatan negara buat mangsa serangan masjid Christchurch

Imam Alabi Lateef Zirullah melaungkan azan di Masjid Linwood, Christchurch yang dibuka semula semalam. - Foto AFP
A
A

CHRISTCHURCH - NEW ZEALAND. Tatkala berdepan serangan maut yang menggemparkan seluruh dunia, kerajaan New Zealand hari ini mengumumkan rancangan mengadakan majlis peringatan negara buat kesemua mangsa serangan Christchurh pada 15 Mac lalu.

Majlis yang dijadual berlangsung pada 29 Mac itu akan diadakan di Christchurch pada kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan, dua minggu selepas serangan pengganas warga Australia, Brenton Tarrant di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood yang mengorbankan 50 nyawa dan mencederakan berpuluh yang lain.

"Acara berkenaan akan memberi peluang kepada Cantabrians (penduduk kawasan Christchurch), rakyat New Zealand dan seluruh lapisan masyarakat dunia untuk bersatu mengenang mangsa serangan keganasan.

"Majlis memperingati mangsa akan berlangsung di Hagley Park berhadapan Masjid Al Noor yang menjadi salah satu lokasi serangan, ia bertujuan membuktikan keprihatinan dan penyatuan rakyat New Zealand dalam menghadapi detik sukar," kata Perdana Menteri Jacinda Ardern.

Lebih seminggu telah berlalu sejak serangan yang menyasarkan dua masjid di bandar Christchurch itu, dan kini pintu Masjid Al Noor dan Masjid Linwood telah kembali dibuka untuk para jemaah selepas kedua-dua lokasi menjalani proses pembaikan dan pembersihan.

Antara yang hadir pada pembukaan semula Masjid Linwood termasuklah pelarian Afghanistan dikenali sebagai Abdul Aziz yang diangkat menjadi wira kerana berjaya menghalang serangan pengganas di masjid terbabit sekali gus mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah.

"Saat memasuki pintu masjid saya berasa seolah-olah satu tekanan dalam kepala, dan segala yang berlaku hari itu kembali menerjah.Namun kita harus tabah dan meneruskan kehidupan," kata bapa berusia 48 tahun itu ketika ditemui bersama imam masjid berkenaan, Alabi Lateef Zirullah.

Susulan tragedi, rakyat New Zealand bangkit bersama menzahirkan kasih sayang terhadap komuniti Muslim dalam pelbagai cara termasuk memberi penghormatan kepada mangsa dengan cara tersendiri, antaranya inisiatif wanita bukan Muslim negara itu memakai tudung kepala sebagai tanda solidariti serta himpunan besar-besaran memperingati mangsa yang diadakan di seluruh negara.

Kerajaan pimpinan Ardern turut meringankan beban keluarga mangsa dengan menanggung kos pengebumian kesemua mangsa selain menawarkan pembiayaan penempatan semula buat keluarga mangsa yang mahu berpindah dari New Zealand.- AFP