APM Pahang urus pengebumian 215 jenazah mangsa Covid-19

Khairuddin menyerahkan replika kunci van jenazah sumbangan Muip kepada Che Adam disaksikan Aminurrahim (tengah), Zakaria (kanan) dan Dr Asmadi (kiri) sempena majlis penyerahan di Pejabat APM Pahang, pada Khamis.
Khairuddin menyerahkan replika kunci van jenazah sumbangan Muip kepada Che Adam disaksikan Aminurrahim (tengah), Zakaria (kanan) dan Dr Asmadi (kiri) sempena majlis penyerahan di Pejabat APM Pahang, pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang membantu menguruskan pengebumian 215 jenazah mangsa Covid-19 di negeri tersebut sejak awal penularan pandemik itu pada tahun 2020.

Pengarahnya, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, ia terdiri daripada 136 jenazah lelaki dan 79 jenazah wanita.

"Daripada jumlah jenazah pesakit Covid-19 yang diuruskan, 201 dikebumikan manakala 14 lagi diuruskan di krematorium.

"Secara keseluruhannya, Kuantan merekodkan bilangan tertinggi diuruskan APM iaitu 160 jenazah diikuti Bentong (17); Raub (14); Pekan (12); Temerloh (6), Lipis (3) dan Maran (3)," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Van Jenazah daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di Pejabat APM Pahang, Beserah, pada Khamis.

Sumbangan van jenazah jenis Toyota Hiace itu disampaikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Dasar) Muip, Khairuddin Ismail.

Kata Che Adam lagi, van jenazah yang diterima itu untuk kegunaan warga APM Pahang dan waris serta digunakan dalam pengendalian kes-kes kematian akibat Covid-19.

Beliau berkata, menerusi kerjasama rakan strategik antara APM Pahang dan Muip, pihaknya akan melatih pegawai dan kakitangan Muip berkaitan ilmu Pertahanan Awam bagi penubuhan Pasukan Tindak balas Kecemasan Pertahanan Awam Komuniti (CDERT-C).

Sementara itu, sempena majlis tersebut, turut diadakan majlis penyampaian hadiah tilawah Al-Quran peringkat APM Pahang dan pertandingan gazebo buluh sempena Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) kali Ke-70 serta majlis berbuka puasa.

Hadir sama, Ketua Pengarah APM, Ketua Pesuruhjaya(PA), Aminurrahim Mohamed; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan),Datuk Zakaria Ibrahim dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman.

Dr Asmadi berkata, pihak Muip menerima permohonan daripada agensi itu untuk mendapatkan sebuah van jenazah bagi kegunaan warga APM Pahang termasuk urusan pengendalian kes kematian akibat Covid-19.

Menurutnya, pihak Muip mempertimbangkan permohonan itu atas dasar keperluan dan kebajikan yang dilakukan agensi tersebut.

"Muip meluluskan permohonan itu dan hari ini (Khamis) kami membuat penyerahan van jenazah berharga RM145,000 untuk APM Pahang," katanya.