Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum susut

Penanda aras Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum menyusut pada sesi permulaan urus niaga pada pagi Jumaat. - Gambar hiasan
Penanda aras Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum menyusut pada sesi permulaan urus niaga pada pagi Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia dibuka tinggi sebelum menyusut kemudiannya apabila pelabur menjauhi pasaran untuk seketika menjelang penerbitan data inflasi Malaysia lewat Jumaat.

Pada jam 9.06 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.22 mata kepada 1,597.10 daripada penutupan Khamis pada 1,598.32.

Indeks utama dibuka pada 1,598.07.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 245 berbanding 122, manakala 232 kaunter tidak berubah, 1,702 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 141.88 juta bernilai RM72.11 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, ekuiti Amerika Syarikat (AS) susut apabila aktiviti pengambilan untung muncul berikutan hasil 10 tahunnya yang lebih tinggi, melepasi paras 2.9 peratus dan ini telah mengimbangi satu lagi kumpulan pendapatan korporat yang kukuh.

Purata Perindustrian Dow Jones (Purata DJI) kerugian 369 mata manakala Nasdaq merosot sebanyak 278 mata.

"Bagaimanapun untuk hari ini, kami berpendapat indeks itu mungkin menghadapi halangan memandang keadaan tidak menentu serantau yang kian ketara. Oleh itu, kami mengunjurkan indeks akan bergerak dalam julat 1,590-1,605 hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pak Leng berkata kebimbangan dari segi bekalan sekali lagi mendorong harga minyak mentah lebih tinggi apabila minyak mentah Brent bergerak melebihi AS$108 setong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM8.90, Public Bank naik satu sen kepada RM4.68, Petronas Chemicals meningkat lapan sen kepada RM10.46, IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.54 manakala Press Metal susut 13 sen kepada RM6.46.

Bagi saham aktif, Sapura Energy susut setengah sen kepada empat sen, manakala Pertama, KNM, Saudee dan Widad tidak berubah, masing-masing pada 90.5 sen, 17 sen, 6.0 sen dan 36.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 turun 19.42 mata kepada 11,104.22, Indeks FBM Emas lebih rendah sebanyak 22.27 mata kepada 11,462.03, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 34.69 mata kepada 12,099.79, FBM 70 menguncup 68.68 mata kepada 13,779.97 dan FBM ACE jatuh 26.36 mata kepada 5,777.13.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.76 mata kepada 215.79 dan Indeks Perladangan susut 8.84 mata kepada 8,596.26 sementara Indeks Perkhidmatan Kewangan berkembang 4.95 mata kepada 16,716.82. - Bernama