Dunia politik semakin ‘membahang’

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

UMAT Islam bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. Tahun ini sememangnya sangat bermakna kerana selepas dua tahun tidak dapat pulang ke kampung akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akhirnya 2022 kita diberikan sedikit kelonggaran untuk bersama-sama keluarga menyambut lebaran.

Bukan itu sahaja, lebih menggembirakan sebahagian rakyat Malaysia apabila kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000.

Ramai yang menarik nafas lega, lebih-lebih lagi mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan menjadi mangsa banjir besar pada penghujung tahun lalu.

Namun, dalam gembira, rakyat Malaysia turut disajikan dengan isu-isu politik negara yang semakin ‘membahang’ dan menjadi-jadi. Apatah lagi, bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga kian dirasai.

Bermula dengan perebutan kerusi Timbalan Presiden PKR antara Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang diketahui seorang pemidato terbaik, manakala Rafizi Ramli pula sering digelar ‘budak bijak’ dalam kalangan rakan politik.

Tak terhenti di situ, timbul pula pendekatan ‘khemah besar pembangkang’. Khemah kecil atau khemah besar sering disuarakan oleh pimpinan utama Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng.

Sebelum ini, Amanah dan DAP berulang kali mendesak PH bergabung dengan parti pembangkang lain seperti Warisan dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk bersama-sama di bawah satu khemah.

Awal minggu ini pula, Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar diminta mengulas mengenai keratan minit mesyuarat Pas dan agenda untuk menjatuhkan pemimpin UMNO.

Bagaimanapun Ahmad Samsuri menganggap dokumen yang didakwa mengandungi maklumat sulit bagi ‘mengenakan’ pemimpin UMNO itu sebagai ‘sampah’.

Diharap segala kemelut politik yang berlaku di dalam negara akan dapat ‘disejukkan’ dan rakyat dapat menikmati Aidilfitri dengan ‘aman’.