ESI Hub di Puchong bakal jadi pusat latihan e-sukan kebangsaan

Ramona (tengah) dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kanan) meninjau ruangan bilik permainan video di ESI Hub @ Spacerubix, pada Khamis.
Ramona (tengah) dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kanan) meninjau ruangan bilik permainan video di ESI Hub @ Spacerubix, pada Khamis.
A
A
A

HAB sukan elektronik (e-sukan) baharu ESI Hub @ Spacerubix di Puchong dijangka menjadi pusat latihan bagi skuad e-sukan negara menjelang Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China yang dijadualkan pada 10 hingga 25 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ESports Integrated (ESI), Ahmed Faris Amir berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membolehkan pasukan kebangsaan ‘berkampung’ di ESI Hub untuk menjalani latihan menghadapi temasya sukan di China itu nanti.

"Mengikut perancangan untuk skuad Sukan Asia latihan di sini, skuad Sukan SEA Hanoi mungkin tidak sempat kerana hab ini baru sahaja dilancarkan.

"Kami memang sudah bersedia (sebagai pusat latihan Sukan SEA), cuma tidak sempat bincang koordinasi, penempatan dan sebagainya jadi disebabkan itu kemungkinan besar mereka akan sambung latihan di MSN,” katanya kepada pemberita di Puchong, pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran ESI Hub yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan Ramona Mohd Razali.

Sebanyak lapan permainan e-sukan akan membuat penampilan sulung sebagai sukan yang ditawarkan pingat secara rasmi pada Sukan Asia Hangzhou antaranya Arena of Valor (versi Sukan Asia), Dota 2, Dream Three Kingdoms 2 dan FIFA (oleh EA Sports).

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, enam permainan iaitu Arena of Valor, Clash Royale, Hearthstone, League of Legends, Pro Evolution Soccer dan StarCraft II diadakan sebagai sukan demonstrasi yang mana pingat diperoleh tidak dikira secara rasmi atau dimasukkan dalam carta kutipan pingat.

Sementara itu, Ahmed Faris berkata, pihaknya akan berbincang secara lanjut bersama MSN serta Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) untuk sebarang kerjasama pada masa depan termasuk menjadikan hab berkenaan sebagai pilihan utama kem e-sukan negara berlatih sebelum bertanding pada mana-mana kejohanan.

Tambahnya, pertandingan Liga E-Sukan Malaysia akan menjadi acara pertama dianjurkan di ESI Hub dijangka pada Jun atau Julai ini selain merancang mengadakan ESI Masterclass khususnya dalam mengasah bakat ‘caster’ (juruhebah) dalam masa terdekat.

ESI Hub dilengkapi 13 bilik permainan video serta sebuah dewan kejohanan boleh menempatkan sehingga 200 orang pada satu masa kesinambungan pengumuman peruntukan untuk sukan negara dalam Belanjawan 2020, bertujuan membantu pertumbuhan e-sukan di negara ini. - Bernama