Pemandu, dua pengarah syarikat didakwa

238175
238175
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu lori dan dua pengarah syarikat memproses tayar terpakai di Pasir Gudang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan melupuskan bahan kimia berhampiran dengan Sungai Kim Kim dan bersubahat.

Tertuduh, N Maridass, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melupuskan buangan terjadual SW311 iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak, seperti yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Peraturan- Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual 2005) ke dalam Sungai Kim Kim.

Maridass didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan sebuah lori Mitsubishi dan treler tangki tanpa mendapat apa-apa kelulusan bertulis daripada Pengarah Jabatan Alam Sekitar.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan berhampiran tapak projek pelebaran jalan Sungai Kim Kim, Jalan Kota Masai 1, Pasir Gudang, antara jam 12.01 dan 1 pagi pada 7 Mac lalu.

Pendakwaaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jika sabit kesalahan, lelaki yang bekerja sambilan sebagai mekanik itu berdepan dengan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.

Hakim, Jailani Rahman membenarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dua pengarah syarikat termasuk seorang warga Singapura didakwa secara berasingan atas pertuduhan bersubahat dengan Maridass.

Yap Loke Liang, 42 dan Wang Jing Chao, 34 didakwa bersubahat dengan Maridass untuk melakukan kesalahan itu.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Muhamad Asyraf mencadangkan mahkamah tidak membenarkan jaminan atau mengenakan amaun jaminan yang tinggi terhadap ketiga-tiganya.

"Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh. Mereka bukanlah ditangkap dalam rumah atau kilang tapi melarikan diri, sembunyi di Batu Gajah, Perak (Maridass) dan dua lagi di Segamat serta Yong Peng.

"Apa jaminan mereka tidak melarikan diri? Malah tertuduh ketiga (Jing Chao) bukan warganegara, apa jaminan OKT akan datang balik dan hadapi perbicaraan," katanya.

Setelah mendengar hujah kedua pihak, hakim, Jailani Rahman membenarkan jaminan RM250,000 dengan seorang penjamin terhadap Loke Liang dan menyerahkan pasport kepada mahkamah manakala Jing Chao tidak dibenarkan diikat jamin.

Ketika prosiding mahkamah, Jailani sempat menegur Jing Chao yang memakai topeng muka.

"Kenapa tutup (muka)? Kalau awak tutup pun, dalam mahkamah tak ada kimia pun. Bukalah," katanya sebelum prosiding bermula.

Dalam pada itu, peguam mewakili Loke Liang dan Jing Chao, G.Subramaniam Nair dalam hujahnya menafikan kedua-dua anak guamnya cuba melarikan diri.

"Mereka ke China atas urusan kerja dan apabila dimaklumkan tentang kes ini mereka tukar tiket penerbangan balik dari ke Singapura ke KLIA.

"Mereka dalam perjalanan balik ketika ditangkap di Segamat dan Yong Peng. Tiada apa mereka sembunyikan. Bukti pembelian tiket dalam telefon bimbit mereka dan pasport ada pada simpanan polis," katanya.

Mahkamah menetapkan 30 April untuk sebutan semula kes.