Polis Johor rampas pistol, dadah

Mohd Khalil menunjukkan dadah yang dirampas.
Mohd Khalil menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menemui sepucuk pistol dan peluru selepas memeriksa sebuah kereta dinaiki dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia pada Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, polis peronda MPV Johor Bahru Selatan telah menahan dan membuat pemeriksaan ke atas kereta jenis BMW model 528i dinaiki dua lelaki tersebut sekitar jam 8.30 pagi di Larkin, di sini.

"Hasil pemeriksaan dijalankan telah menemui dan merampas sepucuk pistol jenama Glock, 26 butir peluru jenama Luger 9mm, dua kelopak peluru, wang tunai RM18,700 dan Rp 8 juta (RM2,272.68), sebuah kereta jenis BMW serta kunci kereta.

"Dua lelaki tersebut ditangkap untuk siasatan lanjut. Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek didapati positif methamphetamine," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata, susulan daripada itu, polis Johor telah melakukan beberapa siri serbuan dan tangkapan di beberapa lokasi di kawasan pembangunan Wilayah Iskandar sekali gus menahan 10 individu.

Katanya, polis turut merampas sepaket plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu anggaran berat 5.82 gram, sepaket plastik lutsinar berisi tumbuhan kering disyaki ganja anggaran berat 1.59 gram serta 46 ketulan mampat disyaki dadah jenis syabu seberat 46 kilogram.

Mohd Khalil menunjukkan pistol yang dirampas.
Mohd Khalil menunjukkan pistol yang dirampas.

"Selain itu, 25 kotak rokok putih jenama Double Happines, sebuah kereta Toyota Vios berserta kunci dan alat kawalan, sebuah kereta Nissan Sentra berserta kunci dan alat kawalan, sebuah kereta Perodua Myvi berserta kunci dan alat kawalan, sepucuk revolver.38, 123 butir peluru.38, 35 butir peluru 9mm, satu kelongsong peluru dan 112 biji pil kuda," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jumlah keseluruhan tangkapan adalah 12 orang berusia antara 20 hingga 46 tahun.

"Anggaran nilai semasa dadah jenis syabu dan pil kuda yang dirampas adalah RM2,422,274 dan boleh digunakan seramai 42,162 pengguna jika diambil satu gram setiap orang.

"Barang yang disita adalah sebuah kereta BMW model 528i, sebuah kereta jenis Toyota Vios, sebuah kereta Nissan Sentra, sebuah kereta Myvi, sebuah kereta Honda Oddysey, sebuah motosikal Yamaha dan sebuah motosikal Modenas," katanya.

Mohd Khalil berkata, nilai keseluruhan harta yang disita adalah RM110,000 dan nilai keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM2.24 juta.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(A) Akta Senjatapi 1960, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.