YIDE, CSR bantu pembelian barangan persekolahan anak yatim

Khanafi (berdiri tiga dari kanan) dan Rozita (berdiri empat dari kanan) bergambar bersama pihak pengurusan dan anak yatim selepas Program Penyerahan Bantuan Persekolahan kepada Anak Yatim di Rumah Bakti AL Kausar, Bandar Batu Bangi di sini pada Khamis.
Khanafi (berdiri tiga dari kanan) dan Rozita (berdiri empat dari kanan) bergambar bersama pihak pengurusan dan anak yatim selepas Program Penyerahan Bantuan Persekolahan kepada Anak Yatim di Rumah Bakti AL Kausar, Bandar Batu Bangi di sini pada Khamis.
A
A
A

BANGI - Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menerima sumbangan sebanyak RM150,000 daripada Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd bagi pembelian barangan persekolahan kepada 19 rumah kebajikan anak yatim di negeri ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Seri Khanafi Hussin berkata, semua rumah kebajikan anak yatim di bawah seliaan YIDE telah mula menerima sumbangan itu secara berperingkat sejak 13 April lalu.

"Hari ini merupakan lokasi terakhir pengagihan sumbangan dan kita berharap ia dapat mengembirakan dan menceriakan anak yatim di sini," katanya pada Program Penyerahan Bantuan Persekolahan kepada Anak Yatim di Rumah Bakti AL Kausar, Bandar Batu Bangi di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, Pengarah Hal Ehwal Korporat CSR, Rozita Ahmad, menyerahkan sebanyak 50 set barangan persekolahan dan duit raya kepada anak yatim.

Khanafi berkata, sumbangan baju sekolah kepada anak yatim disumbangkan CSR itu dijahit asnaf yang mendapat latihan daripada Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd.

Katanya, selain sumbangan barangan persekolahan, pihaknya berhasrat menjalinkan kerjasama strategik bersama CSR dalam membina pusat dialisis di beberapa lokasi di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pembinaan pusat dialisis itu masih lagi dalam peringkat perbincangan awal.

Jelas beliau, sebelum ini CSR turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM1.3 juta bagi membina Kompleks Asrama Anak Yatim di Pulau Indah.

"Projek ini dijangka bermula pada suku kedua tahun ini kerana masih lagi menunggu beberapa kelulusan teknikal daripada pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.