Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti di setiap DUN

Aminuddin memberi tabik hormat kepada anggota APM.
Aminuddin memberi tabik hormat kepada anggota APM.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri akan menubuhkan Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di setiap DUN dalam waktu terdekat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pasukan pertama akan ditubuhkan di DUN Sikamat dan disusuli DUN lain secara berperingkat.

Menurutnya, pasukan sukarelawan terbabit akan menjalani kursus dan latihan yang dikendalikan APM Negeri Sembilan.

“Saya telah pun berbincang dengan APM negeri bulan lalu dan kini dalam perbincangan mengenai kesesuaian kawasan, keanggotaan dan bentuk latihan yang boleh disediakan.

"Kita sedar bahawa ADUN sepatutnya jadi yang pertama bertindak sebelum sokongan di peringkat daerah dan negeri.

"Jika pasukan ini ada di setiap DUN, saya yakin mereka dapat bertindak lebih pantas dan memberi kelebihan untuk mereka menjalankan perkhidmatan kepada komuniti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Hari Ulangtahun Pertahanan Awam Ke-67 di APM Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak dan turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

Artikel Berkaitan:

Aminuddin berkata, sebagai permulaan pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 40 anggota sukarelawan di setiap DUN.

Sementara itu, Roslan berkata purata kes yang diterima oleh APM daerah dalam sebulan adalah sebanyak lima kes manakala terdapat 132 daerah di bawah jagaan APM.

“Maksudnya sebanyak 3,840 bantuan khidmat kemanusiaan yang dilaksanakan oleh APM dalam tempoh setahun,” katanya.