Stor simpanan barangan pasar raya kotor diarah tutup

Dr Muhamad Akmal (tengah) memeriksa makanan sejuk beku dalam peti sejuk ketika pemeriksaan sempena Operasi Hari Raya (Op Raya 2022) di sebuah pasar raya hari ini. - Foto Bernama
Dr Muhamad Akmal (tengah) memeriksa makanan sejuk beku dalam peti sejuk ketika pemeriksaan sempena Operasi Hari Raya (Op Raya 2022) di sebuah pasar raya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JASIN - Sebuah stor penyimpanan barangan sebuah pasar raya diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selepas didapati kotor selain ditemukan najis haiwan di tempat simpanan beras dan garam.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, arahan itu dikeluarkan kepada pasar raya berkenaan ketika pemeriksaan sempena Operasi Hari Raya (Op Raya 2022) di premis terbabit.

“Tidak sepatutnya hal ini berlaku apabila kita menemukan najis kucing yang telah kering di dalam stor simpanan. Ia merupakan satu kesalahan yang kita tidak boleh kompromi dan boleh mengambil tindakan tegas kerana boleh mendatangkan risiko penyakit.

“Hanya bahagian pasar raya dibenarkan beroperasi manakala sebarang urusan membawa keluar atau masuk barangan di dalam stor simpanan itu tidak dibenarkan sepanjang tempoh ia ditutup selain pihak pasar raya perlu membersihkannya sehingga Pejabat Kesihatan Daerah benar-benar berpuas hati dengan tahap kebersihannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, antara kesalahan lain premis tersebut ialah ayam beku yang telah rosak masih disimpan di dalam peti sejuk bersama makanan lain yang dijual kepada pengguna selain tidak mengalihkan makanan yang telah luput tarikhnya daripada rak yang dilihat boleh mengelirukan pengguna.

“Selain tiga kompaun dikeluarkan atas kesalahan tiada alamat pengimport, tamat tarikh serta kehadiran makhluk perosak, Jabatan Kesihatan negeri turut menyita sebanyak 279 barang yang bernilai RM1,949.79 ke atas premis tersebut, dengan keseluruhan kompaun berjumlah RM9,500 atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang operasi sempena sambutan Aidilfitri itu sejak 11 April lepas hingga semalam, sebanyak tujuh pasar mini dan pasar raya di Melaka telah diperiksa dengan lima kompaun bernilai RM15,000 turut dikeluarkan.

Muhamad Akmal berkata, ia membabitkan pelbagai kesalahan termasuk pembungkusan, pelabelan iaitu tiada alamat pengimport serta makanan yang telah tamat tempoh membabitkan 104 barangan makanan disita bernilai RM515.83.

Sementara itu, Muhamad Akmal berkata, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh akan ditutup pada 30 April ini.

Beliau berkata, bagi pesakit berisiko akan dihantar dan ditempatkan di Kolej Kejururawatan Hospital Melaka selepas ini untuk mendapatkan rawatan.

“Jika kita lihat kadar pesakit yang ditempatkan di PKRC tersebut kurang daripada 15 peratus kadar penggunaan katil, namun sekiranya berlaku situasi luar jangka seperti gelombang atau sebagainya kita mempunyai pelan A, B atau C dan ia akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. - Bernama