X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Rancakkan operasi pemutihan pusat kebajikan tidak berdaftar: KPWKM

Barisan tokoh Orang Kurang Upaya (OKU) bergambar dengan orang kenamaan sempena Sambutan Hari OKU Muqarrabun Peringkat Negeri Kelantan 2022, pada Khamis.
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kembali merancakkan operasi pemutihan bagi mengesan pengusaha rumah jagaan dan kebajikan kanak-kanak tidak berdaftar di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, operasi tersebut berjalan sepanjang masa namun perlahan susulan penularan Covid-19.

Katanya, lebih 500 surat pekeliling menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diedarkan kepada pihak yang berkaitan bagi tujuan rekod pemutihan tersebut.

“Saya menggesa pengusaha rumah jagaan dan kebajikan kanak-kanak supaya mendaftar dengan JKM bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Masih ada yang mengambil mudah perkara ini tetapi kami memberikan tempoh sehingga mereka patuhi syarat-syarat yang ditetapkan bagi sesebuah rumah kebajikan dan mendaftar dengan JKM,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Muqarrabun Peringkat Negeri Kelantan 2022 di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik) Pengkalan Chepa di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Tegas Siti Zailah, tidak ada kompromi terhadap syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh sesebuah pusat kebajikan untuk mendaftar terutama membabitkan aspek keselamatan penghuni.

“Pusat jagaan dan kebajikan kanak-kanak perlu mendapat kelulusan termasuk dalam aspek teknikal daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Mereka perlu memastikan persekitaran bangunan atau rumah kebajikan itu mempunyai persekitaran selamat dan berdaftar dengan JKM,” katanya.

Tambah beliau, tenaga pengajar atau pengasuh di rumah kebajikan tersebut juga perlu dipastikan terlatih dan mempunyai sijil yang layak untuk menjaga kanak-kanak.

“Ibu bapa atau penjaga pula dinasihatkan melakukan semakan di laman web rasmi JKM bagi mengetahui rumah kebajikan yang berdaftar untuk menghantar anak masing-masing.

“Misalnya di Kelantan, kami mengesan 14 rumah jagaan dan kebajikan kanak-kanak yang belum berdaftar dan akan diambil tindakan lanjut sekiranya mereka masih ingkar,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!