Redah cabaran demi Tiada Tajuk

Mawi - Foto: ROSLI TALIB
Mawi - Foto: ROSLI TALIB
A
A
A

BERMULA dengan sambutan hangat terhadap drama arahannya, Rock Sangkut dan permintaan penonton yang mahukan drama itu disambung, mendorong Mawi untuk tampil dengan filem pertama diberi judul, Tiada Tajuk.

Menurut Mawi atau nama sebenar Asmawi Ani, melihat pada sambutan hangat dan perkembangan industri filem yang semakin positif ini secara tidak langsung menjadi antara pemangkin semangat untuk menerbit dan mengarahkan filem sendiri.

Jelas Mawi, filem terbitan Mawi World Entertainment ini merupakan kesinambungan dan olahan semula daripada drama Rock Sangkut dengan turut mengekalkan teraju utama Hazama, Along Cham dan Joey Daud.

“Kalau diikutkan sudah lama saya mengimpikan untuk menerbitkan filem sendiri iaitu kira-kira lima tahun yang lalu.

“Bagaimanapun, saya mahu kutip dulu pengalaman dengan menghasilkan beberapa buah drama dan telemovie sehinggalah saya mengambil keputusan mengarahkan filem pula.

"Alhamdulillah isteri saya, Ekin Rahmat sangat memahami dan bersetuju untuk 'meminjamkan' duit dalam menghasilkan filem ini,” ujarnya.

Ketika sesi pengambaraan Tiada Tajuk.
Ketika sesi pengambaraan Tiada Tajuk.

Artikel Berkaitan:

Selain mengekalkan ketiga-tiga pelakon tersebut sebagai teraju utama, Mawi sendiri turut berlakon dan bergandingan dengan Anas Tahir.

Antara lain-lain pelakon yang turut membintangi filem berkenaan seperti Ropie, Kamarul Yusof, Amirah Othman dan Johan As’ari.

Ditanya mengenai cabaran dalam menyiapkan Tiada Tajuk, Mawi berkata, berdepan dengan pelbagai cabaran dan sekali gus mengubah pandangan mengenai dunia pengarahan filem.

"Kami menjalani penggambaran selama 30 hari di beberapa buah lokasi di Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

"Pada mulanya, saya sangkakan mengarahkan filem ini mudah. Tapi bila dah buat, saya memang respect pada pengarah yang memang fokus untuk memartabatkan industri perfileman.

"Bukan mudah kerana kami lalui tempoh penggambaran yang panjang, walau hanya untuk sebuah filem komedi dan secara keseluruhan, ia memakan masa hampir setahun untuk proses post produksi," jelasnya.

Semasa pengambaraan Tiada Tajuk.
Semasa pengambaraan Tiada Tajuk.

Filem ini mengisahkan mengenai tiga orang sahabat dari kampung, dianggap sebagai ‘kutu’ yang bercita-cita menjadi artis terkenal.

Ternyata banyak dugaan yang mereka lalui sepanjang perjalanan mereka ini. Persoalannya, adakah mereka berjaya, untuk menjadi artis terkenal? Dan apa yang mereka lalui bila mana mereka terkenal?

Ikuti kisah mereka di pawagam bermula 4 April depan.

Balas jasa peminat

Dalam pada itu, Juara Akademi Fantasia 3 (AF3) ini turut menganjurkan peraduan istimewa filem Tiada Tajuk.

Menawarkan hadiah lumayan seperti sebuah Perodua Bezza, motosikal Yamaha Y15, pakej umrah dan pakej percutian ke Australia untuk dua orang, Mawi yang pernah mendapat jolokan Raja SMS ketika menyertai AF3 menyifatkan ia sebagai salah satu cara membalas jasa para peminat.

“Selama ini, peminat banyak memberikan sokongan kepada saya sepanjang berkecimpung dalam bidang seni. Kerana mereka jugalah saya menerima pelbagai hadiah lumayan, termasuk empat buah kereta.

"Jadi saya kira, inilah masanya untuk saya membalas budi peminat," katanya.

Peraduan yang bermula pada hari pertama tayangan filem itu memerlukan peminat memuat turun aplikasi Mawi World menerusi platform Play Store atau App Store.