Pelajar maut motosikal rempuh kereta

Motosikal ditunggang mangsa remuk selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, di sini, pada malam Rabu. (Gambar kecil: Muhammad Arif Danieal)
Motosikal ditunggang mangsa remuk selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, di sini, pada malam Rabu. (Gambar kecil: Muhammad Arif Danieal)
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang pelajar Tingkatan Satu maut selepas motosikal ditunggangi terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, di sini, pada malam Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, mangsa Muhammad Arif Danieal Muhammad Razlan, 13, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda berwarna hitam dalam perjalanan dari arah Kuala Linggi menghala ke Sungai Baru.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu lelaki berusia 44 tahun dari arah sama mahu membelok ke simpang sebelah kanan dan berhenti sambil memberikan lampu isyarat kenderaan.

"Bagaimanapun mangsa dari arah belakang kenderaan itu gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kereta tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Ujar beliau, pemeriksaan pegawai penyiasat di lokasi mendapati kemalangan berpunca daripada faktor kegagalan mengawal kenderaan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.