'Winning Meals Kachimeshi' nutrisi seimbang untuk atlet Sukan SEA

Abe (empat dari kiri) bersama Nauraj (tiga dari kanan), Norliyana (dua dari kanan) dan Queenie Ting (kanan) pada majlis yang berlangsung di MSN Bukit Jalil pada Khamis.
Abe (empat dari kiri) bersama Nauraj (tiga dari kanan), Norliyana (dua dari kanan) dan Queenie Ting (kanan) pada majlis yang berlangsung di MSN Bukit Jalil pada Khamis.
A
A
A

AJINOMOTO Malaysia Berhad (AMB) telah menjalinkan kerjasama dengan tiga atlet negara dalam program nutrisi sukan 'Winning Meals Kachimeshi'.

Pengarah Urusan AMB, Tomoharu Abe berkata, kerjasama tersebut akan bermula dari Mac sehingga Julai tahun ini selain program itu juga sebahagian persiapan untuk Sukan SEA Vietnam Mei ini.

Menurutnya, atlet lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa, atlet hepathlon, Norliyana Kamaruddin dan atlet lempar cakera Queenie Ting Kung Ni akan dihidangkan dengan diet seimbang yang disusun khas oleh pakar pemakanan untuk memenuhi keperluan latihan menjelang temasya sukan dwitahunan tersebut.

"Diet atlet telah digabungkan dengan aminoVITAL AMB yang dirumus dengan asid amino rantai bercabang untuk meningkatkan prestasi senaman, menguatkan daya tahan otot, membantu dalam pemulihan otot dan mengurangkan keletihan otot.

"Tahun ini, kami berbangga dapat menyokong atlet Malaysia dengan menyediakan hidangan bernutrisi yang sesuai serta minuman asid aminoVITAL sebagai persiapan untuk merebut kemenangan dalam Sukan SEA.

"Melalui integrasi nutrisi dan sukan oleh kumpulan Ajinomoto, saya berharap Nauraj, Norliyana dan Queenie Ting akan menzahirkan potensi mereka yang sepenuhnya dan membanggakan Malaysia," katanya dalam ucapan ketika majlis pengumuman kerjasama tersebut di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Khamis.

Dalam pada itu, Abe turut menjelaskan komitmen AMB untuk mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat melalui inisiatif Penciptaan Nilai Bersama oleh Kumpulan Ajinomoto.

"Ia mewakili komitmen kami yang tidak berubah untuk meneruskan misi dalam menyumbang kepada makanan dan kesihatan dunia serta kehidupan yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, Nauraj menyifatkan 'Winning Meals Kachimeshi' menyediakan makanan nutrisi yang sangat diperlukan terutama untuk kekal pada prestasi terbaik ketika sesi latihan dan dalam kejohanan.

"Saya juga bukan muda lagi dan umur makin meningkat, jadi dalam proses pemulihan kecergasan dan sebagainya memerlukan nutrisi yang mencukupi.

"Winning Meals Kachimeshi ini membolehkan saya menikmati makanan dengan nutrisi yang seimbang sekali gus memberikan saya tenaga yang diperlukan untuk latihan," katanya.