Bekas penyelia Felda mengaku tidak bersalah palsukan dokumen

Bekas penyelia rancangan tanah Felda didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis atas pertuduhan memalsukan dokumen.
Bekas penyelia rancangan tanah Felda didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis atas pertuduhan memalsukan dokumen.
A
A
A

KUANTAN - Seorang bekas penyelia rancangan tanah Felda di Bera didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis atas pertuduhan memalsukan dokumen berhubung penerimaan bayaran tunai, dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Aizat Ziadi, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Dia didakwa sebagai penyelia Rancangan Tanah Felda Sebertak, Bera telah memalsukan dokumen iaitu senarai akuan penerimaan bayaran tunai paysheet (PS) pada November 2020 dan senarai akuan penerimaan bayaran tunai pendahuluan (PT) Disember 2020 dengan niat melakukan penipuan.

Tertuduh didakwa memalsukan tandatangan peneroka-peneroka dengan niat hendak menyebabkan supaya dokumen itu dipercayai sudah dibuat oleh peneroka.

Muhammad Aizat yang beralamat di Temerloh didakwa melakukan perbuatan itu sekitar bulan November dan Disember pada 2020.

Dia didakwa mengikut seksyen 464(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nadzirah Zahari menawarkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Muhammad Aizat yang tidak diwakili memohon agar jaminan dikenakan ke atasnya dengan jumlah yang minimum kerana baru mendapat pekerjaan baharu sebagai mekanik.

"Pendapatan bulanan sekitar RM1,200 dan mempunyai tanggungan termasuk ibu, ayah dan kakak," katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan bermula April sehingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 25 Mei depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.