Maritim tidak kendurkan operasi sepanjang Aidilfitri

Mohd Zubil menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim yang diraikan pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan sempena Program Penerapan Nilai Murni di Masjid Al- Mustaghfirin, Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (Amsas) Sungai Ular di sini pada Rabu.
Mohd Zubil menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim yang diraikan pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan sempena Program Penerapan Nilai Murni di Masjid Al- Mustaghfirin, Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (Amsas) Sungai Ular di sini pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia ) mempertingkatkan rondaan dan operasi di perairan negara menerusi Operasi Khas Ops Pagar Laut sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim, Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, operasi yang dilaksanakan dalam tempoh dua minggu sebelum dan dua minggu selepas Aidilfitri itu bagi mengekang kegiatan jenayah di laut dan menangani kes-kes kecemasan termasuk operasi carilamat.

Menurutnya, tanggapan sesetengah pihak bahawa tiada tindakan penguatkuasaan semasa musim perayaan ini tidak benar.

"Sebaliknya operasi tidak akan dikendurkan semasa musim perayaan malah ia berjalan seperti biasa dan dipertingkatkan lagi melalui Ops Pagar Laut ini.

"Aset-aset di laut termasuk 45 aset kapal dan bot dikekalkan di perairan seluruh negara untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Kepada Anak Yatim sempena Program Penerapan Nilai Murni di Masjid Al- Mustaghfirin, Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (Amsas) Sungai Ular di sini pada Rabu.

Mohd Zubil berkata, dalam tempoh Ramadan setakat ini, kes-kes pelanggaran undang-undang di laut agak reda tetapi kesalahan melibatkan kapal dagang masih berlaku.

"Rondaan dan pemantauan dilakukan bagi memastikan kapal-kapal dagang yang melalui perairan negara mematuhi peraturan dan langkah-langkah keselamatan.

"Pada masa sama, kita juga bersiap sedia untuk bantuan kepada komuniti kapal-kapal dagang ini sekiranya berlaku kes-kes kecemasan," katanya.

Beliau berkata, kejadian pencerobohan bot nelayan asing terutama bot nelayan Vietnam juga reda kebelakangan ini.

"Keadaan ini berlaku bukan kerana bulan puasa sebaliknya ia hasil tindakan penguatkuasaan Maritim Malaysia yang berkesan selama ini," katanya.

Sementara itu beliau berkata, dalam tempoh pelaksanaan Ops Pagar Laut setakat ini, Maritim Malaysia belum membuat sebarang tangkapan melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) sama ada yang cuba masuk atau keluar dari negara ini melalui laluan laut tidak sah.

"Berdasarkan risikan di darat, belum ada maklumat pergerakan keluar PATI sempena musim perayaan ini namun tumpuan tetap diberikan kerana kemungkinan ada yang akan keluar melalui laluan tidak sah menjelang Aidifitri nanti," katanya.