Arab Saudi taja juadah iftar, agih mushaf al-Quran di enam universiti

Ahmad Marzuk Shaary
Ahmad Marzuk Shaary
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur melalui pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi sekali lagi menaja juadah iftar bagi pelajar serta kakitangan akademik di enam buah universiti awam (UA) Malaysia.

Program Iftar Penjaga Dua Kota Suci (IFTARKHS) sempena bulan Ramadan 1443 Hijrah dimulakan dengan kerjasama penganjuran majlis iftar di Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL), diikuti Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.

Kedutaan Arab Saudi juga menaja Majlis Iftar Perdana anjuran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) pada Rabu malam, yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Ahmad Marzuk dalam ucapan perasmiannya menyampaikan penghargaan beliau atas kesudian Kedutaan Arab Saudi menaja juadah iftar pada Ramadan kali ini.

"Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan semoga Allah membalas dengan ganjaran yang berlipat kali ganda kepada penaja”, katanya.

Turut hadir dalam majlis perasmian berkenaan ialah Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussien Saeed Qattan, Atase Agama Kedutaan Arab Saudi Sheikh Abdul Rahman Al-Rubaian, dan Pengarah APIUM Profesor Madya Dr Mohd Fauzi Hamat.

Sementara itu, Mahmoud Hussien dalam ucapannya berkata, Kedutaan Arab Saudi menyasarkan untuk mengagihkan 15,000 pek juadah iftar sepanjang bulan Ramadan 1443 Hijrah dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk universiti, masjid, hospital dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Selain itu, kedutaan Arab Saudi memperuntukkan 57 ribu tan kurma untuk diagihkan kepada umat Islam di Malaysia pada tahun ini bermula dengan penganjuran program IFTARKHS.

Pihaknya juga menyasarkan pengagihan 46,680 mushaf Al-Quran Al-Karim, khususnya mushaf beserta terjemahan bahasa Melayu dan mushaf khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Program IFTARKHS akan turut diadakan di beberapa UA lain seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM), manakala majlis penutup akan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya pada 28 April. - Bernama