Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit meneruskan penyusutannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal urus niaga Khamis berikutan jangkaan bahawa pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menaikkan kadar faedah dalam mesyuarat akan datang pada awal Mei ini, kata penganalisis.

Pada 9 pagi ini, ringgit yang mencecah paras terendah dalam tempoh 22 bulan pada akhir urus niaga Rabu, terus menyusut kepada 4.2830/2890 berbanding dolar AS daripada 4.2800/2830, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangkakan diniagakan rendah hari ini ketika penggiat pasaran memberi tumpuan terhadap langkah Fed yang seterusnya.

"Malam ini, Pengerusi Fed Jerome Powell akan bercakap sebagai panelis pada seminar Tabung Kewangan Antarabangsa. Beliau mungkin memberi penekanan untuk menjelaskan pendirian Fed mengenai langkah mengetatkan lagi dasar monetari sedia ada.

"Selain itu, terdapat jangkaan bahawa kadar inflasi mungkin mencecah paras kemuncaknya tidak lama lagi, namun ini pun masih terlalu awal,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, gangguan bekalan akibat sekatan pergerakan di beberapa bahagian di China akan turut memberi tekanan harga dan menjejaskan aspek penghantaran penting di serata global.

"Ini ditambah pula dengan konflik ketenteraan berterusan Rusia-Ukraine yang menyebabkan harga komoditi meningkat.

"Ringkasnya, pasaran pertukaran asing amat sensitif terhadap sebarang ketidaktentuan yang ketara. Berikutan itu, para penggiat pasaran akan mencari perlindungan dengan memilih mata wang selamat seperti dolar AS,” katanya.

Kalangan penggiat pasaran terbabit juga akan memantau indeks harga pengguna Malaysia bagi Mac yang dijadual diumumkan esok.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, ringgit berkemungkinan mendapat sedikit sokongan hari ini apabila hasil Perbendaharaan AS susut manakala dolar AS lebih rendah berbanding yen Jepun.

"Oleh itu, yuan yang mempunyai kaitan rapat dengan ringgit, akan lemah jika pihak People's Bank of China (PBoC) terus menyebabkan penurunan yuan bagi meningkatkan eksport.

"Secara idealnya, ringgit akan mencatat prestasi lebih baik jika PBoC mengurangkan kadar faedah bagi merangsang pertumbuhan domestik serta import dan itu masih belum berlaku," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1380/1426 daripada 3.1371/1398 semalam namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3427/3476 daripada 3.3432/3458.

Unit tempatan itu rendah berbanding pound Britain kepada 5.5910/5989 daripada 5.5781/5820 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6415/6480 daripada 4.6468/6501. - Bernama