Najib tak pernah kata ‘okey’ pada KPMG untuk tandatangan penyata 1MDB

Najib (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto Bernama
Najib (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Rabu diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berkata 'okey' kepada KPMG Malaysia untuk menandatangani penyata kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) 2013 selepas pertemuan firma audit itu dengan 1MDB diadakan di kediaman bekas perdana menteri di Langgak Duta pada 15 Disember 2013.

Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir, 48, yang bersetuju dengan soalan yang dikemukakan oleh peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed juga berkata perkataan ‘okey’ tidak pernah disebut oleh Najib.

Azmi menjelaskan bahawa mesyuarat itu diadakan atas permintaan KPMG kerana firma audit itu bertegas untuk bertemu Najib kerana tidak berpuas hati dengan maklumat dan dokumentasi yang disediakan oleh pengurusan 1MDB bagi tujuan mengaudit pelaburan dana kekayaan Malaysia berjumlah AS$2.3 bilion di luar negara.

Saksi itu berkata, bahawa beliau menerima panggilan telefon daripada rakan kongsi KPMG, Ahmad Nasri Abdul Wahab dan ketika itulah permintaan tersebut dibuat, selepas juruaudit tidak berpuas hati dengan maklumat yang diberikan syarikat itu, setakat ini.

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Wan Aizuddin dalam perbicaraan Najib berhubung penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Azmi: Saya terkejut. Saya tanya kenapa mereka nak berjumpa dengan perdana menteri? Mereka berkata mereka mahu mendengar daripada pemegang saham bahawa semuanya okey. Mereka berkata jika Najib berkata okey, maka mereka akan menandatangani (pada penyata kewangan 1MDB).

Wan Aizuddin: Anda berkata mereka (KPMG) kata, ‘Jika PM kata okey, mereka akan tandatangan’. Jadi, anda akan bersetuju bahawa selepas pertemuan dengan Najib, dia tidak pernah berkata, "okey anda boleh tandatangan"? Azmi menjawab: "Kata-kata itu bukan dari dia".

Azmi juga berkata dia telah menyampaikan mesej itu (permintaan KPMG) kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low semasa perbualannya dengan Ahmad Nasri.

Azmi: Jho Low berkata, kenapa, kenapa jumpa PM? Jadi saya cakap, mereka (KPMG) berkata jika mereka jumpa dan puas hati serta PM mengetahui dan ia okey, maka mereka akan tandatangan. Saya telah diberi tekanan oleh Jho Low, ‘Semestinya, mereka akan tandatangan”.

Peguam itu kemudiannya mempersoalkan mengapa Jho Low adalah orang pertama yang dihubungi Azmi berhubung permintaan KPMG untuk bertemu Najib, dan saksi itu berkata tiada seorang pun daripada mereka berurusan secara langsung dengan PMO (Pejabat Perdana Menteri) dan dalam hal ini, mereka percaya dia (Jho Low) adalah wakil (PM).

Ketika ditanya mengapa saksi memilih Jho Low berbanding Datuk Azlin Alias sebagai Setiausaha Sulit utama Najib ketika itu, saksi itu berkata, walaupun dia berurusan dengan Azlin, namun Jho Low memainkan peranan utama kerana dia (Jho Low) mengendalikan urusan audit dan 1MDB.

Mahkamah juga mendengar hujah bahawa, walaupun selepas pertemuan pada 15 Disember itu, tiada laporan akhir audit dikeluarkan oleh KPMG.

Menjawab soalan lain, saksi berkata, Najib tidak menelefon dan meminta beliau untuk menggantikan KPMG dengan Deloitte.

Dilaporkan bahawa selepas pertemuan dengan Najib, KPMG digugurkan sebagai juruaudit 1MDB dan digantikan oleh firma audit Deloitte untuk mengaudit penyata kewangan 2013 dana itu.

Sebelum ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abd Rahman memberi keterangan bahawa KPMG disingkirkan sebagai juruaudit 1MDB berikutan tekanan daripada Najib.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama