Bukan Zambry perlu jawab: Saarani

Saarani ketika berdialog bersama penduduk sekitar Tanjung Belanja pada Program Moh Ngopi bersama DSM, hari ini.
Saarani ketika berdialog bersama penduduk sekitar Tanjung Belanja pada Program Moh Ngopi bersama DSM, hari ini.
A
A
A

PARIT - Pembangkang Perak menegaskan bahawa bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bukanlah individu yang tepat dalam menjawab isu peningkatan kos Taman Tema Animasi Movie Animation Park Studios (MAPS).

Ketuanya, Datuk Saarani Mohamad berkata, MAPS adalah projek di bawah Perak Corporation Berhad (PCB) dan PCB merupakan 'public listed company' yang mempunyai peraturan dan undang-undang yang dikawal selia Bursa Saham Malaysia.

"Urusan syarikat ini diurus melalui keputusan ahli lembaga dan akaunnya dipantau dan diluluskan oleh jawatankuasa auditnya. Jadi, semua keputusan yang dibuat berdasarkan keputusan lembaga yang mana agensi PCB sebagai pemegang saham tertakluk kepada setiap keputusan oleh lembaga dan Zambry bukanlah pengerusi PCB.

"Jadi, semua pertanyaan berkaitan kedudukan kewangan sewajarnya terletak di bawah bidang kuasa ahli lembaga dan jawatankuasa audit. Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang memiliki pegangan saham tertinggi biasanya akan dibincangkan melalui Mesyuarat Agung Tahunan," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Moh Ngopi bersama DSM di Warung Laman Opah, Tanjung Belanja, di sini.

Menurutnya, tindakan Pengerusi Jawatankuasa Audit PCB, Chong Zhemin mengeluarkan kenyataan tanpa menunggu keputusan rasmi firma audit Price Waterhouse sebagai tuduhan berniat jahat.

Katanya, Pakatan Harapan cuba mencari publisiti murahan dengan menyerang pembangkang setelah gagal menggunakan isu Menteri Besar Corporation (MBInc) dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

"Sebelum firma audit Price Waterhouse melaksanakan tugas, Zhemin terlebih dahulu membuat kesimpulan dan kenyataan akhbar yang menggambarkan Zambry bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu ini.

Artikel Berkaitan:

"Kalau betul mereka adalah kerajaan berwibawa, tunggu sahaja laporan rasmi. Carilah isu yang lebih sesuai, ini bukan caranya menarik perhatian ramai dengan menggambarkan Zambry yang perlu bertanggungjawab atas keseluruhan perbelanjaan MAPS," katanya.

Zhemin dalam sidang akhbar semalam meminta Zambry memberi penjelasan berhubung peningkatan kos MAPS daripada RM390 juta kepada RM607 juta selain bertanggungjawab meluluskan kos tambahan bagi tujuan penambahbaikan MAPS kepada tiga pemegang saham dengan perjanjian berjumlah RM250 juta.

ARTIKEL BERKAITAN: Zambry digesa beri penjelasan isu kenaikan kos MAPS