Akta Anti Lompat Parti tidak perlu terlalu kejam: Exco Pemuda UMNO

Farhan Khairuddin
Farhan Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Akta Anti Lompat Parti perlu digubal dengan berhati-hati kerana tujuan utama ia dibuat untuk memulihkan demokrasi dan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada sistem undang-undang negara.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Farhan Khairuddin berkata, undang-undang itu tidak perlu terlalu kejam termasuk dengan tidak membenarkan ahli Parlimen yang melompat parti daripada bertanding semula dalam pilihan raya jika ia diadakan.

"Bagi saya, dia perlu dibenarkan untuk bertanding untuk membuktikan mandat yang diberikan itu sama ada kepada parti atau berdasarkan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.

"Ini kerana walaupun kita bercakap soal anti lompat parti dan mahu membendung budaya ini tetapi dalam masa sama kita juga perlu berlaku adil kepada mereka (ahli Parlimen yang melompat parti dan rakyat yang memberikan mandat)," katanya.

Farhan berkata demikian selaku panelis pada Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Lompat Parti, Rasuah Khianat Demokrasi' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Rabu.

Turut berganding dengan beliau sebagai panelis ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Felo Kanan Institusi Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM), Jufitri Joha manakala personaliti televisyen, Harleena Pahlavy bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Farhan berkata, jika individu itu kalah maka terbukti bahawa mandat itu diberikan kepada parti.

"Tapi kalau dia menang seperti dalam kes Tan Sri Shahrir Samad di Johor Bahru dulu, ia memberi tamparan dan gambaran sebenarnya sosok tubuh dia itu memberi kesan kepada parti dan rakyat di samping memberi kekuatan kepada parti.

"Saya tak rasa kita perlu terlalu kejam seperti yang dilakukan di Filipina kerana negara itu melarang terus individu yang lompat parti daripada bertanding dan hak individu itu hilang terus," katanya

Tambah Farhan, walaupun wakil rakyat itu melompat parti, mereka tetap rakyat Malaysia dan tetap mempunyai hak seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Saya fak fikir kita perlu terlalu kejam dalam soal ini kerana kita nak memulihkan demokrasi, nak perbaiki dan pulihkan kepercayaan rakyat kepada sistem yang kita ada.

"Jadi bagaimana kita mahu rangka undang-undang ini, kita kena hati-hati. Apa pun cara itu, matlamat yang kita mahu mesti dicapai," katanya.