Johor pantau, audit pusat jagaan kanak-kanak

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri Johor akan melakukan pemantauan dan pengauditan terhadap pusat jagaan kanak-kanak khususnya yang melibatkan kanak-kanak istimewa di seluruh negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemantauan dan tumpuan khas kepada pusat jagaan kanak-kanak istimewa itu akan dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor.

"Kerajaan negeri Johor memandang serius kes-kes penderaan, keganasan atau eksploitasi kanak-kanak di mana-mana pusat jagaan kanak-kanak di Johor.

"Selain JKM Johor, saya juga berharap semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain yang terlibat secara tidak langsung dapat memberi kerjasama penuh untuk memastikan semua pusat jagaan kanak-kanak beroperasi secara sah dan dijaga dengan baik," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Rabu.

Pada Selasa, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan penambahbaikan terhadap Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dilakukan segera bagi mengelak kejadian menimpa kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) sindrom Down iaitu Bella, berulang.

Menurut Tunku Ismail, usaha itu harus merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan untuk memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam.

Tunku Mahkota Johor berkata demikian setelah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Kisah Bella, 13, mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia apabila dia didakwa didera dan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31.