Serah semula PPR, PA jika sudah mampu: Menteri WP

Khalid melakukan kerja-kerja pembersihan saliran sebagai gimik perasmian Program Perumahan Ku Bersih 2019 di PPR Beringin hari ini.
Khalid melakukan kerja-kerja pembersihan saliran sebagai gimik perasmian Program Perumahan Ku Bersih 2019 di PPR Beringin hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bukan harta turun temurun yang boleh dimonopoli golongan yang sudah keluar dari kepompong kemiskinan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata, kesedaran dari penyewa unit yang sudah sekian lama menetap PPR dan PA amat penting bagi memberi peluang kepada pemohon lain yang layak kini dalam senarai menunggu.

Menurutnya, yang sudah berkemampuan sepatutnya keluar dan menyerahkan balik unit kepada DBKL.

"Sewa PPR, PA ini hanya bersifat sementara. Sebelum ini mereka mungkin dalam kategori tidak mampu jadi dengan menyewa di PPR dengan harga yang rendah, dapat membantu ekonomi keluarga menjadi lebih baik.

"Apabila sudah lama menyewa, anak-anak sudah membesar dan bekerjaya, mereka mungkin sudah mampu untuk membantu keluarga.

"Jadi kesedaran ini penting disamping DBKL mengambil langkah-langkah yang sepatutnya, kita minta kerjasama daripada penyewa sedia ada kerana DBKL mempunyai 25,000 senarai pemohon yang layak namun tidak dapat berikan unit sewa kerana tiada kekosongan," katanya pada sidang media selepas Program Perumahan Ku Bersih 2019 di PPR Beringin, di sini, hari ini.

Khalid bersama penghuni PPR yang layak menerima Skim Khidmat Menjelaskan Tunggakan Sewa yang dilantik sebagai pekerja pembersihan kawasan perumahan.
Khalid bersama penghuni PPR yang layak menerima Skim Khidmat Menjelaskan Tunggakan Sewa yang dilantik sebagai pekerja pembersihan kawasan perumahan.

Dalam pada itu, Khalid berkata, DBKL mengenal pasti 281 penghuni PPR yang layak bagi Skim Khidmat Menjelaskan Tunggakan Sewa yang baru diperkenalkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua mereka ini akan dilantik sebagai pekerja kebersihan di kawasan perumahan di mana masalah tunggakan sewa akan dipotong melalui hasil pendapatan yang diterima.

"Kebanyakan mereka ini adalah golongan yang sukar mendapat pekerjaan menyebabkan mereka bermasalah untuk membayar sewa bulanan. Kerjasama dibuat dengan kontraktor pembersihan yang dilantik DBKL," katanya.

Pemenang Pertandingan Kebersihan Blok sempena Program Perumahan Ku Bersih 2019 di PPR Beringin.
Pemenang Pertandingan Kebersihan Blok sempena Program Perumahan Ku Bersih 2019 di PPR Beringin.