'Kita tidak menilai punca kenapa ahli Parlimen lompat parti'

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Dua perkara asas iaitu tekanan ekonomi dan tekanan daripada penguasa terhadap ahli Parlimen perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi membendung masalah lompat parti.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyambut baik Akta Anti Lompat Parti namun menegaskan ia tidak akan berfungsi sebaiknya sekiranya dua perkara asas tersebut tidak ditangani.

"Kita selalu bercakap tentang takrifan atau definisi (lompat parti), tetapi kita tidak menilai punca kenapa sebenarnya ahli Parlimen ini sanggup lompat parti.

"Mesti ada faktor 'push and pull' dan 'behavioral economics' kepada ahli Parlimen tersebut. Pada Sidang Khas Dewan Rakyat 11 april lalu, saya dan ramai ahli Parlimen lain menyentuh perkara sama.

"Kebiasaanya ahli Parlimen ini melompat sebab tekanan sama ada tekanan ekonomi atau tekanan daripada penguasa. Memang bagus kita ada takrifan atau definisi tentang lompat parti, tetapi jika isu asas ini tidak diatasi maka ia tidak akan mencapai tujuan yang dimahukan," katanya dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Lompat Parti, Rasuah Khianat Demokrasi' pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan tekanan ekonomi itu berlaku apabila seseorang wakil rakyat tidak mempunyai peruntukan cukup untuk menguruskan bantuan di kawasannya.

"Kita lihat sebenarnya tindakan lompat parti paling banyak berlaku di Sabah dan Sarawak. Daripada situ, kita tidak dapat nafikan isu asas iaitu sumber. Wakil rakyat sering dilihat sebagai sumber yang mana bila tak ada sumber dia akan kena pelbagai tekanan.

"Untuk waktu ini, peruntukan adalah daripada dana belas ihsan Perdana Menteri. Pada masa sama, kita lihat bagaimana ahli Parlimen juga diberi tekanan oleh penguasa melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagainya.

"Bagi saya, dalam hal lompat parti ini ia lebih kepada salah guna institusi dan salah guna dana untuk menekan bagi mengukuhkan kedudukan pihak kerajaan," katanya.

Fahmi turut memberikan cadangan agar Parlimen diberikan kebebasan untuk menentukan dana sendiri sekali gus dapat membendung masalah lompat parti.

Beliau berkata, Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen perlu diwujudkan selaras dengan perkara dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang.

"Sekarang ini, untuk sebarang urusan, Parlimen perlu memohon kepada Menteri Kewangan dan ia memberikan maksud bahawa Parlimen itu tidak bebas.

"Walhal, kalau dulu kita ada Akta Perkhidmatan Parlimen sebelum 1995 yang memberikan kuasa Parlimen menentukan sendiri bajetnya.Sebahagian daripada kebebasan yang ditentukan melalui akta ini mestilah merangkumi dana peruntukan untuk semua ahli Parlimen tidak kira parti mana.

"Sekiranya asas itu boleh dibentuk dan diwujudkan dan termaktub dalam satu akta, maka saya percaya kita akan saksikan kurang insiden lompat melompat berlaku di masa depan," katanya.

Menurutnya, ia juga untuk memastikan Parlimen terus bebas dan dana bagi ahli Parlimen diberikan bukan lagi melalui Perdana Menteri.

"Parlimen perlu menetapkan jumlah dan diaudit selain disemak timbang dalam Parlimen sendiri," katanya.