Kerajaan Perak gesa tingkat pengawasan DTI Langkap

Saarani (kanan) menyampaikan pek juadah raya kepada anggota keselamatan sempena Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya Kerajaan Negeri Perak Kepada Pasukan Beruniform di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Rabu.
Saarani (kanan) menyampaikan pek juadah raya kepada anggota keselamatan sempena Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya Kerajaan Negeri Perak Kepada Pasukan Beruniform di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menggesa pihak bertanggungjawab khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertingkatkan tahap pengawasan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Langkap bagi mengelak kejadian tahanan lolos di Pulau Pinang berlaku di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, walaupun depot tahanan tersebut bukan di bawah seliaan kerajaan negeri, langkah-langkah keselamatan tetap perlu diambil bagi memastikan tiada tahanan yang keluar.

Menurutnya, kejadian yang berlaku di Depot Imigresen Sementara Relau, Pulau Pinang itu tidak mustahil untuk berlaku di DTI Langkap.

"Saya yakin pihak berkuasa yang menjaga dan mengawasi depoh tahanan di Langkap ini mengambil iktibar dari apa yang berlaku di Pulau Pinang dan kita harap mereka lebih berhati-hati supaya tidak ada sedikit pun kita alpa atau cuai.

"Kita harus ingat mereka dalam tahanan itu sentiasa mencari peluang dan ruang, membaca gerak-geri pegawai. Jangan sampai tahanan ini lolos keluar," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya Kerajaan Negeri Perak Kepada Pasukan Beruniform di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan barisan exco kerajaan negeri Perak.

Saarani berkata demikian sebagai mengulas mengenai kejadian tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Pulau Pinang pada Rabu.

Sementara itu, mengenai Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya Kerajaan Negeri Perak Kepada Pasukan Beruniform, beliau berkata, program tersebut merupakan aktiviti tahunan sebagai menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan.

Katanya, anggota keselamatan dan kesihatan yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri akan diberikan juadah berkenaan.