Minyak sawit sebagai produk lima bintang

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) menerima produk berasaskan kelapa sawit sebagai cenderahati daripada Menteri Industri Utama, Teresa Kok (tiga, kanan) selepas melancarkan Kempen Sayangi Sawitku yang dianjurkan oleh Kementerian Industri Utama (MPI) di Ladang Sime Darby Plantation, Pulau Carey, hari ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LANGAT - Kementerian Industri Utama berhasrat menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai produk bertaraf lima bintang.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, kerajaan masih mempertahankan minyak sawit negara daripada ancaman negara-negara Eropah melalui Kempen "Sayangi Sawitku" yang dilancarkan.

Menurutnya, pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuklah Kabinet telah meluluskan cadangan untuk menghadkan keluasan kawasan tanaman sawit negara kepada 6.5 juta hektar sebagai langkah untuk memastikan kelestarian industri minyak sawit.

"Had ini mengambil kira perancangan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri untuk penanaman sawit di negeri masing-masing.

"Kementerian akan berkonsultasi dengan pihak kerajaan negeri untuk memastikan hasrat ini tercapai," katanya sempena Majlis Perasmian Kempen Sayangi Sawitku di Ladang East Pulau Carey hari ini.

Teresa berkata, pada masa yang sama Kabinet bersetuju agar penanaman kelapa sawit tidak digalakkan di kawasan baru tanah gambut manakala, penukaran guna tanah Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi aktiviti penanaman sawit atau tanaman pertanian lain turut dilarang.

Beliau yang kesal dengan tohmahan pihak yang ingin menjatuhkan imej minyak sawit negara berharap kempen itu dapat mendidik rakyat mengenai kelebihan dan peranan minyak sawit kepada negara.

Jelasnya, negara-negara maju di Eropah telah memulakan usaha perundangan untuk menghadkan atau menghentikan penggunaan minyak sawit atas dasar pengeluaran minyak sawit tidak mampan dan menyebabkan penyahhutanan hutan tropika.

"Pada masa yang sama pengeluar produk makanan dan bukan makanan Eropah juga giat memasarkan lebih banyak produk dengan label "No Palm Oil".

"Ini menyebabkan wujudnya tanggapan negatif terhadap minyak sawit dalam kalangan pengguna," katanya.

Beliau sebelum ini mengajak pelbagai pihak memastikan industri sawit diusahakan secara mampan dan seterusnya menangkis dakwaan dan kecaman yang dilemparkan oleh pihak luar.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia