Ketengahkan peranan pesara, bekas polis: Musa

Musa beramah mesra bersama anak yatim dalam majlis berbuka puasa anjuran Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) bersama anak yatim, tahfiz dan komuniti Pangsapuri Taman Suria di sini pada Selasa.
Musa beramah mesra bersama anak yatim dalam majlis berbuka puasa anjuran Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) bersama anak yatim, tahfiz dan komuniti Pangsapuri Taman Suria di sini pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Peranan pesara serta bekas anggota dan pegawai polis perlu diketengahkan sebagai perantara antara Polis Diraja Malaysia(PDRM) dengan masyarakat.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pesara dan bekas polis mempunyai pengalaman luas dalam bidang kepolisan yang mana ia membantu menjadi jambatan penghubung antara polis dan masyarakat.

"Masyarakat rata-ratanya tidak tahu mengenai tugas serta peranan pihak polis, jadi dengan adanya pesara atau bekas polis dalam komuniti, mereka dapat membantu memberikan penerangan kepada masyarakat.

"Bukan bermakna sekiranya seseorang anggota atau pegawai selepas mereka pencen, bermakna berakhir terus tanggungjawab mereka, segala ilmu dan pengalaman mereka dalam memberikan penjelasan mengenai soal pencegahan jenayah misalnya dapat disumbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir dalam majlis berbuka puasa anjuran Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) bersama anak yatim, tahfiz dan komuniti Pangsapuri Taman Suria di sini pada Selasa.

Katanya, usaha semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat swasta yang menawarkan pelbagai peluang kepada pesara dan bekas polis wajar disokong.

"Golongan ini kebanyakannya masih mahu menabur bakti mereka, jadi semangat mereka ini perlu kita angkat dan ketengahkan.

"Tidak bermakna tanggungjawab pegawai atau anggota itu berakhir selepas berpencen kerana masih ada yang mahu terus berbakti kepada rakyat dan negara," katanya.