Dua penyelia Rela direman kes buat tuntutan palsu

Suspek diiring pegawai SPRM di mahkamah.
Suspek diiring pegawai SPRM di mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Dua penyelia Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes membuat tuntutan palsu tahun lalu.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 56 dan 38 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Intan Syafinaz Ros'lin selepas permohonan dibuat oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Khairi Abdul Karim di Mahkamah Trafik Seremban pada Rabu.

Kedua-dua lelaki berkenaan direman bermula pada Rabu sehingga 26 April depan.

Difahamkan suspek antara bulan Mei hingga November 2021 telah membuat tuntutan palsu dengan mengemukakan Borang Tuntutan Elaun Penugasan Rela bagi tahun 2021 berjumlah RM25,632.

Tuntutan itu dibuat terhadap beberapa anggota lain yang sebenarnya tidak hadir bertugas di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Baru Enstek di sini.

Kedua-dua mereka ditahan pada Selasa selepas hadir ke pejabat SPRM Seremban untuk memberi keterangan.