Covid-19: 6,069 kes baharu, 10,619 sembuh

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 6,069 kes baharu Covid-19 pada Selasa menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 4,122,004.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah berkenaan melibatkan 5,959 kes tempatan dan 110 kes import.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan sebanyak 2,598 kes atau 42.81 peratus merupakan pesakit Covid-19 kategori satu, manakala 3,426 kes atau 56.45 peratus membabitkan kategori dua.

“Sementara itu, sebanyak 21 kes atau 0.35 peratus bagi kategori tiga, 10 kes atau 0.16 peratus (kategori empat) dan sebanyak 14 kes atau 0.23 peratus (kategori lima)," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan sebanyak 45 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, sembilan kes dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian tersebut.

“Sebanyak 18 kes sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, tetapi tidak menerima dos penggalak sementara 18 kes lagi sudah menerima dos penggalak.

“Selain itu, 21 kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan 26 kes lagi mempunyai komorbid,” katanya.

Tambahnya, hanya lima kluster baharu direkodkan pada Selasa menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif adalah sebanyak 109 kluster.

"Sebanyak 97 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 59 daripadanya disahkan Covid-19, manakala kes disyaki kemungkinan dan kes dalam siasatan pula adalah sebanyak 38," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 64 kes memerlukan bantuan pernafasan dengan 36 kes disahkan Covid-19 dan 28 lagi kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Beliau turut memaklumkan negara merekodkan sebanyak 10,619 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kepada 4,274,746 kes setakat ini.