'Kempen burukkan imej kelapa sawit tak boleh diterima'

Dr Mahathir ketika melancarkan Kempen Sayangi Sawitku, di sini, hari ini.
Dr Mahathir ketika melancarkan Kempen Sayangi Sawitku, di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA LANGAT - Kerajaan akan mengkaji semula pembelian barangan dari negara Eropah sekiranya mereka menyekat minyak kelapa sawit negara.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan itu adalah tidak adil seolah-olah sengaja memboikot kemajuan negara yang menggunakan minyak kelapa sawit.

Menurutnya, mereka tidak sepatutnya menggambarkan minyak kelapa sawit sebagai bahan yang tidak boleh dimakan melalui label.

"Walaupun Eropah bukan pasaran yang terbesar, namun kempen untuk memburukkan imej kelapa sawit itu yang kita tidak boleh terima.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia ancam henti import produk EU

"Kita tidak boleh berperang tetapi kita bakal kurangkan pembelian produk mereka, hanya barangan tertentu sahaja kita tidak akan beli," katanya dalam Sidang Media Kempen Sayangi Sawitku atau 'Love MY Palm Oil' anjuran Kementerian Industri Utama (MPI) di Ladang East, Sime Darby Plantation, Pulau Carey hari ini.

Dr Mahathir berkongsi pendapat, sekiranya negara perlu membeli pesawat pejuang, pihaknya terpaksa memikirkan pesawat buatan China.

Jelasnya, ini bukanlah sebagai cara mempromosikan barangan China, tetapi usaha menolak barangan dari Eropah yang mahu menjatuhkan ekonomi negara.

"Saya fikir teknologi mereka tidak kurang hebat adakalanya teknologi China melebihi teknologi barat.

Artikel Berkaitan:

"Kita mempunyai banyak pilihan dan di mana-mana pun boleh, yang pasti kita akan kaji dan melihat kesannya dahulu," katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir melancarkan Kempen Sayangi Sawitku bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan industri minyak sawit kepada sosio-ekonomi negara serta kebaikan dan kegunaannya dalam kehidupan seharian.