Harga sawit tinggi, pencuri makin ligat

Zam (kiri) dan Abdul Aziz meninjau tandan sawit yang dicuri ketika tinjauan pemberita di sini.
Zam (kiri) dan Abdul Aziz meninjau tandan sawit yang dicuri ketika tinjauan pemberita di sini.
A
A
A

PASIR SALAK - Kegiatan mencuri hasil sawit di Mukim Pasir Panjang Ulu, Kampung Gajah di sini dilaporkan semakin menjadi-jadi sejak dua bulan lalu hingga mengakibatkan pengusaha kerugian lebih RM10,000.

Kegiatan itu didakwa berlaku disebabkan harga komoditi berkenaan yang melebihi paras tertinggi iaitu RM1,000 setan metrik.

Pemilik ladang sawit, Zam Mat Piah, 69, berkata, aktiviti mencuri sawit memang kerap berlaku di kawasan itu sebelum ini, namun semakin berleluasa sejak Mac dan Ramadan.

Menurutnya, bukan sahaja dilakukan pada waktu malam, malah individu terlibat berani mengangkut hasil sawit dari ladang pada waktu siang ketika penduduk berehat di rumah kerana berpuasa.

"Dalam tempoh dua bulan ini sahaja, hampir tiga kali hasil sawit saya dicuri, rugi dekat RM10,000. Boleh dikatakan majoriti pengusaha ladang sawit di mukim ini menghadapi masalah yang sama.

"Sedar-sedar sahaja tandan sawit di pokok sudah hilang, bukan sedikit, satu pokok boleh hasilkan lima ke enam tandan sawit, tetapi semuanya diambil orang," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, kegiatan itu sukar dikesan kerana disyaki melibatkan penduduk setempat yang boleh keluar masuk ke kawasan ladang sawit menggunakan laluan tikus.

Katanya, pernah pekerja membuat intipan dan rondaan pada waktu malam di ladang, namun tidak berjaya mengesan dan menangkap pencuri sawit.

"Mereka (pencuri sawit) seakan tahu waktu mana nak lakukan aktiviti itu. Ada juga yang mencuri dalam jumlah sedikit menggunakan motosikal dan kereta di merata kawasan ladang menyukarkan kegiatan itu dikesan," katanya.

Seorang lagi pemilik ladang, Abdul Aziz Abdul Ghafar, 57, berkata, ada sebahagian kes kecurian telah dilapor kepada pihak berkuasa dan melibatkan tangkapan.

Bagaimanapun katanya, kegiatan sama berulang menyebabkan kalangan pengusaha mengalami kerugian besar.

"Walaupun harga sawit tengah tinggi sekarang ini sekitar RM1,200 ke RM1,400 setan metrik, tetapi kos seperti baja dan racun pun dah mahal.

"Tentulah kami kecewa hasil yang sepatutnya boleh dituai dan dijual, dicuri pula," katanya.

Justeru pihaknya berharap, rondaan lebih kerap dapat dilakukan polis di kawasan-kawasan ladang sawit terutama pada waktu malam.

Katanya, langkah itu mungkin boleh membantu mengurangkan kegiatan curi sawit di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, setakat ini, polis telah melakukan tangkapan ke atas empat individu yang terbabit dalam kes kecurian sawit di sekitar Pasir Salak.

Katanya, tangkapan itu dibuat selepas menerima 13 laporan berhubung kecurian sawit di empat mukim iaitu Pasir Salak, Pasir Panjang Ulu, Kampung Gajah dan Pulau Tiga.

"Rondaan pencegahan jenayah sentiasa dilakukan termasuklah di kawasan ladang sawit.

"Kita minta pihak yang terlibat untuk membuat laporan dan menyalurkan maklumat supaya tindakan susulan dapat dilakukan," katanya.