Penduduk risau air paip 'berkarat'

Air paip keruh dan berwarna kemerah-merahan.
Air paip keruh dan berwarna kemerah-merahan.
A
A
A
SIMPANG RENGGAM - Penduduk di beberapa taman perumahan di sekitar Simpang Renggam mendakwa kehidupan harian mereka terjejas apabila air paip berubah warna menjadi kemerah-merahan.

Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Firdaus, 40, berkata, masalah itu semakin ketara sejak kebelakangan ini dan merisaukan penduduk setempat terutamanya untuk kegunaan makan dan minum kerana bimbang kesihatan terjejas.

“Seperti saya sendiri, saya tidak berani guna air paip seperti ini untuk mandi dan minum kerana risau membahayakan kesihatan diri saya dan keluarga kerana air yang keluar seperti berkarat dan berwarna kemerah-merahan.

“Isteri saya juga tidak boleh mencuci pakaian menggunakan air ini dan terpaksa menggunakan cara lain seperti menghantar ke dobi bagi mengelakkan pakaian dibasuh rosak atau bertukar warna,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selain itu, berkemungkinan mesin basuh penduduk di kawasan terlibat juga akan rosak sekiranya menggunakan sumber air tersebut untuk membasuh baju akibat keladak dan mendapan yang dibawa melalui air paip tersebut.

Katanya, dia yang bergantung sepenuhnya kepada sumber air berkenaan mengakui masalah tersebut menjejaskan kehidupan sehariannya selain meminta tindakan pihak yang bertanggungjawab bagi mengatasi masalah ini.

“Selain itu, air daripada paip tersebut juga seperti mengandungi kesan kotor seperti karat dan saya terpaksa membeli beberapa kotak air mineral untuk tujuan minum selain terpaksa mengeluarkan kos untuk makan di luar.

“Masalah ini pasti akan berlaku selepas kawasan ini tiada air dan biasanya keadaan air akan kembali jernih selepas dua atau tiga hari dan ada saya tidak tahu bila masalah air di kawasan ini akan selesai,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, bagi menyelesaikan isu air yang dihadapi penduduk kawasan Simpang Renggam ini, beliau telah menyasarkan tempoh setahun iaitu sehingga penghujung tahun depan bagi membolehkan isu ini diberi perhatian intensif dan diselesaikan secara bersama.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bekalan air mentah juga sering terputus kerana kandungan ammonia yang tinggi berikutan masalah pelupusan sampah di Ladang CEP Renggam dan air larutan resapan daripada kilang memproses kelapa sawit dan sisa najis ternakan ayam yang memasuku Sungai Benut.