X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Rakyat Malaysia sakan 'shopping raya'

Pusat tekstil terkenal, Jakel di Seksyen 7, Shah Alam menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli pakaian raya.
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai dilihat 'membalas dendam' untuk membeli persiapan Hari Raya Aidilfitri selepas dua tahun tidak dapat menyambutnya dengan meriah.

Tinjauan Sinar Harian di Pusat Komersial Seksyen 7 di sini pada Selasa mendapati orang ramai mula berkunjung ke pelbagai butik menjual pakaian raya bermula jam 10 pagi.

Hasil tinjauan turut mendapati bilangan kereta turut memasuki kawasan sini turut bertambah pada jam 12 tengah hari dan menyebabkan kesesakan luar biasa yang memakan masa hampir sejam.

Pengarah pusat tekstil terkenal, Jakel di Seksyen 7, di sini, Mohamed Izani Mohamed Jakel berkata, seramai 10,000 orang pembeli berkunjung ke premisnya di sini sejak ia dibuka pada jam 10 pagi.

Menurutnya, sebanyak 10,000 pasang baju Melayu berjaya dijual setakat jam 12 tengah hari disebabkan pelbagai tawaran harga menarik termasuk diskaun sehingga 90 peratus untuk semua jenis pakaian yang dijualnya.

"Setakat ini, kami berjaya menjual 100,000 pasang baju Melayu sepanjang bulan Ramadan.

"Sambutan yang diterima oleh kami pada tahun ini sangat berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini, yang mana impaknya sangat tinggi kerana pengunjung gunakan peluang ke kampung untuk beraya bersama keluarga berpakaian sedondon," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan pakaian raya pada harga yang berpatutan.
Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan pakaian raya pada harga yang berpatutan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Starvilion Sdn Bhd, Ajwad Khan Nasir Khan teruja dengan sambutan luar biasa yang diterimanya adalah disebabkan kebenaran untuk pulang ke kampung yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ujarnya disebabkan itu, hasil jualannya meningkat sebanyak 50 peratus setakat ini dan dijangka akan terus meningkat menjelang Syawal.

"Setakat ini, kami menerima sekitar 5,000 pengunjung yang datang ke kedai kami bermula jam 10 pagi hingga 1 pagi.

"Walaupun kami kurang mengadakan promosi, tapi jumlah pelanggan yang datang tetap ramai," katanya.

Suasana di dalam butik Starvilion, Seksyen 7, Shah Alam sejak ia dibuka pada jam 10 pagi.
Suasana di dalam butik Starvilion, Seksyen 7, Shah Alam sejak ia dibuka pada jam 10 pagi.

Salah seorang pengunjung di sini, Suhaimi Yahya, 39 berkata dia akan pulang ke kampung halaman di Bagan Datok, Perak untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri selama seminggu di sana.

Dia yang sudah tidak pulang ke kampung sejak dua tahun lalu berkata walaupun persiapan untuk perayaan hanya sederhana, namun apa yang lebih penting ialah kemeriahan untuk beraya bersama keluarga setelah sekian lama terpisah.

"Persiapan biasa-biasa sahaja, tapi mungkin sebab dua tahun tidak pulang beraya, ia lebih istimewa kerana sudah lama tidak beraya bersama keluarga," katanya.

Suhaimi
Suhaimi

Pengunjung lain, Azraime Zulkifli, 33, yang merupakan penduduk asal dari Klang pula kurang memberikan fokus untuk membeli pakaian raya, sebaliknya lebih kepada persiapan untuk menyambut tetamu yang bakal berkunjung ke rumahnya di pagi lebaran.

"Tahun ini kami hanya beli sepasang baju setiap seorang atas dasar untuk berjimat cermat, jadi bajet yang dikeluarkan hanyalah di bawah RM1,000.

"Tapi kali ini kami buat lebih meriah dari segi hidangan kuih-muih kerana sebelum ini tetamu tidak berkunjung ke rumah," katanya yang bekerja sebagai kontraktor.

Ajwad Khan
Ajwad Khan


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!