Agama, bangsa bukan alat sebar konflik, perpecahan

Mohd Syafie
A
A

TAWAU - Agama dan bangsa tidak patut dijadikan alat untuk menyebar konflik atau perpecahan, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mengingatkan perkara itu, Mohd Shafie berkata elemen itu sepatutnya menjadi teras untuk memupuk keteladanan serta nasionalisme dan Sabah adalah contoh terbaik perpaduan bagi hidup bermasyarakat yang pelbagai anutan dan bangsa.

"(Di Sabah) kita berjaya menjaga keharmonian, tidak ada kacau bilau, perpecahan, perbalahan, malahan kita (rakyat) saling hormat antara satu sama lain, perkara ini perlu dikekalkan dan disebarkan bukan hanya dalam kalangan rakyat negara ini tetapi masyarakat dunia.

"Apa yang berlaku di New Zealand (insiden tembakan di masjid) harus ditentang sekeras-kerasnya oleh masyarakat antarabangsa kerana perkara seumpama itu menghancurkan keamanan serta kesejahteraan masyarakat dunia," katanya pada Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) 2019, di sini.

FKAT yang memasuki edisi kelapan itu dirasmikan Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dengan hampir 50,000 membanjiri perkarangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bagi menyaksikan persembahan tarian 28 etnik termasuk dari Indonesia dan Thailand.

Mohd Shafie dalam pada itu berkata konsep baik kehidupan masyarakat majmuk dibawah bumbung sama adalah saling mengenali dan mengelak membenci antara satu sama lain.

Menurutnya perbalahan hanya menyebabkan keharmonian tidak tercapai yang sekali gus memberi impak negatif kepada kemajuan dunia.

Mengenai FKAT, Mohd Shafie berkata festival itu bukan sahaja menjadi platform penyatuan kekayaan budaya di negeri ini malahan penyumbang kepada ekonomi pelancongan Sabah.

Dalam perkara berasingan, Shafie berjanji akan merealisasikan Tawau menjadi Terminal Makanan Negeri yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan jualan borong hasil pertanian.

Katanya kewujudan terminal itu mampu merancakkan industri makanan dan pertanian dengan hasil buah-buahan serta sayuran tempatan diperluaskan untuk pasaran dalam dan luar negara.

“Saya suda kenal pasti di kawasan Yayasan Sabah, kita akan tanam buah dan sayur untuk dibekalkan kepada pasaran domestik dan luar negara,” katanya. - Bernama