Sila log masuk terlebih dahulu.

Saifuddin akan hubungi rakan sejawat atasi kemelut Palestin

Saifuddin - Foto fail Bernama
Saifuddin - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah secara peribadi akan menghubungi rakan sejawatannya yang dirasakan dapat memainkan peranan aktif untuk meyakinkan Israel agar menghentikan keganasan mereka terhadap rakyat Palestin.

Beliau berkata, tiada sesiapa pun mahu melihat keganasan terus memuncak dan Malaysia yakin ada pihak lain yang berada dalam kedudukan lebih baik yang dapat menghentikan kekejaman Israel.

"Saya akan menulis surat rasmi kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta presiden Majlis Keselamatan PBB esok untuk mendapatkan bantuan menghentikan keganasan Israel.

"Kita sebuah negara kecil tetapi akan cuba berbincang dengan beberapa pihak yang dirasakan mempunyai kedudukan lebih baik untuk menyelesaikan isu ini," katanya pada sidang media selepas majlis berbuka puasa bersama ketua-ketua misi diplomatik dan organisasi antarabangsa yang berpangkalan di Kuala Lumpur di sini malam ini.

Pada Jumaat lepas, sekurang-kurangnya 153 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel yang menyerbu perkarangan Masjid Al-Aqsa selepas solat subuh.

Susulan itu, rakyat Palestin mengadakan protes dan menyeru negara Islam melindungi Al-Aqsa.

Beberapa serangan susulan juga dilaporkan berlaku di perkarangan masjid berkenaan.

Keganasan pihak berkuasa Israel ini menimbulkan kebimbangan berulangnya tragedi serangan udara ke atas Gaza pada 10 hingga 21 Mei 2021 yang menyebabkan lebih 250 rakyat Palestin terbunuh dan 1,900 lagi cedera.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal menghadiri sidang kemuncak khas ASEAN-Amerika Syarikat yang dihoskan Presiden Joe Biden, dijadualkan diadakan di Washington DC dari 12 hingga 13 Mei.

Ditanya sama ada Myanmar patut dipelawa menyertai sidang kemuncak itu, Saifuddin berkata: ”Saya tidak rasa Myanmar patut diundang dan saya juga tidak pasti sama ada Washington mengundang negara itu.” - Bernama