MAP perlu perjelas metodologi kajian: TPM

A
A

SERDANG - Malaysians Against Pornografi (MAP) perlu memberikan pencerahan mengenai metodologi kajiannya yang mendapati bahawa pada 2018 kira-kira 80 peratus kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun menonton pornografi secara sengaja.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, cara kajian berkenaan dilaksanakan perlu diperjelaskan secara terperinci.

"Memanglah keputusan itu sesuatu sesuatu yang membimbangkan. Namun dapatan itu perlu dihuraikan dari segi bagaimana kajian itu dilakukan seperti berapa kecil atau berapa besar kajiannya? Bagaimana MAP mendapatkan keputusan begitu. Keputusan seperti itu, bagaimana MAP dapat?," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai laporan media semalam bahawa kira-kira 80 peratus kanak-kanak berusia 10 hingga 17 tahun menonton pornografi secara sengaja.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Sukarelawan Hospital Kebangsaan di Fakulti Perubatan dan Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Tambah Dr Wan Azizah, beliau turut bertanya kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan sumber lain mengenai keputusan kajian MAP.

Jelas beliau, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberi perhatian serius kepada isu kanak- kanak yang terdedah kepada pornogafi di alam siber.

Kata Timbalan Perdana Menteri, Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia kelima pada tahun 2014 menunjukkan 35.3 peratus individu berusia 13 hingga 24 tahun terdedah pornografi dan daripada jumlah itu 60.8 peratus memperolehnya daripada Internet, 45 peratus melalui telefon pintar dan 20 peratus melalui cakera padat atau cakera padat digital lucah. Kajian berkenaan dilakukan oleh LPPKN setiap 10 tahun.

KPWKM menerusi LPPKN sentiasa memberi pendidikan kepada ibu bapa mengenai keselamatan kanak-kanak di alam siber melalui Program Keselamatan Anak dan Keluarga (Peka) di mana ibu bapa diberi pengetahuan mengenai cara-cara membantu anak-anak berhadapan dengan buli siber, sexting dan online grooming.

"Sehingga 2018, sebanyak 184 program Peka dilaksanakan melibatkan 5,520 peserta dari seluruh Malaysia. Satu lagi program ialah Pekerti yang memberi pendedahan kepada kanak-kanak dan remaja berkaitan isu seksualiti di mana sebanyak 779,000 peserta terlibat dalam program ini sehingga akhir tahun 2018.

"Selain itu terdapat kempen Keluarga Bijak Siber yang bertujuan memastikan masa berkualiti bersama keluarga serta penetapan masa yang sesuai untuk menggunakan gajet serta kempen Sekeluarga Tolak Pornografi (Stop) yang merupakan inisiatif pertubuhan bukan kerajaan," tambah Dr Wan Azizah. - Bernama