"Mujurlah anak-anak tiada masa kejadian..."

Walaupun menanggung kerugian namun Zulaiti dan suami bersyukur empat anak mereka tiada di rumah ketika kejadian.
Walaupun menanggung kerugian namun Zulaiti dan suami bersyukur empat anak mereka tiada di rumah ketika kejadian.
A
A
A

KUALA NERUS - Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa mereka musnah dalam kebakaran dekat Jalan Lapangan Terbang di Kampung Duyung di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, Anuar Affadi Norwawi, 36, dan isteri, Zulaiti Mohamad, 41, serta anak bongsu mereka, Auffa Yuyyn berusia setahun sedang tidur di dalam rumah sewa berkenaan.

Zulaiti berkata, walaupun mereka menanggung kerugian namun dia dan suami bersyukur kerana empat anak berumur antara 11 hingga 17 tahun tiada di rumah ketika kejadian kebakaran berlaku.

"Mujurlah anak-anak tak ada, mereka ke Flat Sri Kolam sebab nak ikut keluarga saya ke majlis kenduri di Kuala Lumpur. Kalau mereka ada, tak tahulah apa yang berlaku.

“Kejadian ini menyebabkan semua barang dalam rumah musnah, tak ada pun yang tinggal. Tapi syukurlah kami semua selamat," katanya.

Zulaiti ditemui ketika lawatan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mat Nuzaihan Ibrahim dan Bendahari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Duyung, Che Abdul Azeb Ismail.

Anuar (kanan) menerima sumbangan disampaikan Pegawai JKM, Mat Nuzaihan dan
Bendahari MPKK Duyung, Che Abdul Azeb.
Anuar (kanan) menerima sumbangan disampaikan Pegawai JKM, Mat Nuzaihan dan Bendahari MPKK Duyung, Che Abdul Azeb.

Mengulas lanjut, Zulaiti berkata, sebaik menyedari kebakaran itu berlaku dia dan suami bersama anak bongsu segera keluar dari rumah untuk mendapatkan pertolongan jiran yang berdekatan.

Artikel Berkaitan:

“Saya berlari ke rumah jiran minta bantuan. Dalam masa sama sedih juga tengok rumah sewa ni mula musnah sebab api cepat marak," katanya.

Zulaiti hanya bekerja sebagai penjaga homestay manakala suaminya, Anuar yang juga merupakan penerima bantuan bulanan JKM tidak bekerja kerana mengalami masalah kesihatan.

Sementara itu, jiran mangsa, Ismail Muhamed, 61, pula berkata, dia terus menghubungi pihak bomba bagi memaklumkan mengenai kejadian tersebut kerana bimbang api menjadi tidak terkawal.

“Apa yang boleh saya bantu sekarang ialah tumpangkan mereka sementara di rumah,” katanya.

Sementara itu, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat yang tiba di lokasi kejadian berjaya mengawal kebakaran dari merebak dan kes itu masih dalam siasatan pihak terbabit.

Bagi mereka yang mahu membantu Zulaiti dan Anuar boleh menyumbang melalui akaun Bank Simpanan Nasional (1100241000170204) di bawah nama Anuar Affadi Norwawi.