Pembenihan awan jika kapasiti air kurang 40 peratus

Bahagian kiri Empangan Air Itam terhakis akibat ribut dan banjir besar pada tahun 2017 lalu.
Bahagian kiri Empangan Air Itam terhakis akibat ribut dan banjir besar pada tahun 2017 lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) hanya akan memohon langkah pembenihan awan daripada Jabatan Meteorologi sekiranya kapasiti efektif Empangan Air Itam jatuh sehingga kurang dari 40 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, PBAPP akan membuat permohonan kepada Kerajaan Pulau Pinang dan seterusnya kerajaan negeri akan memohon dari jabatan tersebut.

Menurutnya, selepas permohonan dibuat, Jabatan Meteorologi akan memutuskan waktu yang sesuai untuk melaksanakan pembenihan awan di negeri ini.

"Selain langkah tersebut, kita turut melaksanakan langkah kontingensi lain seperti meminimumkan pelepasan air mentah dari Empangan Air Itam sebaik mungkin, tanpa catuan air.

"Kita juga menjalankan langkah mengepam air sebanyak mungkin dari loji rawtaan air yang lain di luar kawasan Air Itam untuk mengurangkan pelepasan harian dari Empangan Air Itam," katanya kepada media tadi.

Terdahulu, Jaseni mengiringi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow meninjau keadaan kapasiti air di Empangan Air Itam di sini.

Dalam perkembangan lain, Jaseni berkata, kerja membaik pulih Empangan Air Itam sedang dijalankan dengan 36 peratus lebih cepat dari yang dijadualkan.

Menurutnya, kerja membaik pulih itu sepatutnya dilaksanakan pada 2017 iaitu selepas tragedi banjir besar dan ribut melanda negeri ini namun pada waktu itu, paras air masih tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Empangan ini ditauliahkan pada 1962 iaitu 57 tahun lalu. Selepas tempoh itu, Seksyen 98 meter pada pemampan kiri empangan itu menunjukkan tanda-tanda hakisan air. Kerosakan hakisan semakin teruk oleh aliran air berat semasa ribut pada September, Oktober dan November 2017.

"Kerja membaik pulih ini perlu dijalankan untuk memastikan keselamatan perimeter jalan empangan dan integriti struktur empangan. Selain itu, hakisan akan menyebabkan tanah berkumpul ke dalam empangan dan akan menjejaskan kualiti air mentah yang disimpan," katanya.

Jaseni berkata, kerja membaik pulih di bahagian kiri empangan itu hanya dilakukan setelah paras air rendah.

"Kerja membaiki dan menstabilkan bahagian yang rosak dijalankan sekarang kerana ia tidak dapat dilihat ketika paras air tinggi. Antara kerja pembaikan yang dijalankan adalah memampatkan serta membalut bahagian yang rosak dengan geo tekstil berkualiti tinggi selain meletakkan tilam batu pada paku tanah dan penambat tali dawai.

"Projek membaik pulih ini menelan kos RM1.6 juta dan dijadualkan siap Julai ini. Sehingga kini, kemajuan kerja sudah mencapai 54 peratus," katanya.