Penduduk Johor rugi RM9.55 juta ditipu Macau Scam

JSJK Johor merekodkan sebanyak 209 kes penipuan Macau Scam membabitkan kerugian sebanyak RM9.55 juta di negeri ini bagi tempoh 1 Januari hingga Isnin. - Gambar hiasan
JSJK Johor merekodkan sebanyak 209 kes penipuan Macau Scam membabitkan kerugian sebanyak RM9.55 juta di negeri ini bagi tempoh 1 Januari hingga Isnin. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor merekodkan 209 kes penipuan Macau Scam membabitkan kerugian sebanyak RM9.55 juta di negeri ini sejak 1 Januari lalu.

Ketua JSJK Johor, Asisten Komisioner Amran Md Jusin berkata, angka itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun lalu.

Katanya, sebanyak 90 kes dengan kerugian RM2.88 juta direkodkan pada tahun lepas, menyaksikan peningkatan kerugian sebanyak RM6.67 juta.

"Modus operandi Macau Scam ini adalah dengan menyamar sebagai anggota polis, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau ejen insurans.

"Mangsa akan menerima panggilan telefon sama ada secara terus atau menggunakan operator. Mangsa kemudian diberitahu mempunyai tunggakan cukai yang didaftarkan atas nama syarikat," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurut Amran, mangsa yang menafikan kewujudan syarikat dinyatakan akan diminta pihak sindiket untuk membuat laporan polis secara dalam talian.

Langkah yang boleh diambil bagi mengelak Macau Scam.
Langkah yang boleh diambil bagi mengelak Macau Scam.

Tambahnya, panggilan mangsa kemudian disambungkan ke 'pihak polis' atau 'agensi' lain.

"Mangsa akan didakwa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram, nama telah disenaraihitamkan, waran tangkap dikeluarkan dan akaun bank dibekukan.

"Mangsa kemudian diarah memindahkan semua wang ke dalam nombor akaun bank diberikan atau ke akaun sendiri di mana mangsa dikehendaki memuat turun aplikasi tertentu dan mendaftarkan butiran akaun termasuk akses online akaun serta mendaftarkan nombor telefon diberikan bagi penerimaan nombor TAC," katanya.

Beliau berkata, setelah mempunyai kawalan ke atas akaun bank mangsa, semua wang dari akaun tersebut akan dikeluarkan melalui perbankan internet tanpa pengetahuan mangsa.

Sehubungan itu, Amran menasihati agar orang ramai tidak melayan panggilan telefon daripada pihak tidak dikenali, tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak, tidak panik dan memberitahu pasangan, ahli keluarga atau rakan sebelum mengambil sebarang tindakan.