Dah ‘osom’ nak raya mana?

Gambar hiasan- Foto fail Bernama
Gambar hiasan- Foto fail Bernama
A
A
A

NAMPAKNYA rakyat Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kemeriahan pada tahun ini.

Ini semua gara-gara pandemik Covid-19 menyebabkan sudah dua tahun suasana hari raya terasa amat hambar.

Mari kita imbas kembali apa yang berlaku dua tahun lalu.

Jangan kata berkunjung, takbir raya pun dikawal, hanya orang Islam yang tinggal di bawah kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sahaja dibenarkan menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri dan bertakbir di masjid dan surau.

Itu pun perlu patuhi prosedur operasi standard (SOP) mengikut pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Lebih sayu, rumah terbuka dilarang sama sekali di semua kawasan. Yang boleh pun, mereka yang tinggal di dalam kawasan PKP yang sama sahaja dibenarkan berkunjung, itu pun pada hari raya pertama sahaja.

Kehadiran tetamu pula terhad kepada maksimum 15 orang pada satu masa. Garis panduan jarak fizikal dan lain-lain Covid-19 juga mesti dijaga.

Tetapi tidak pada tahun ini, semua orang Islam boleh meraikan Hari Raya Aidilfitri seperti biasa walaupun beberapa SOP asas seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal perlu dipatuhi.

Tambahan pula, cuti sekolah pada tahun ini agak panjang. 1 Mei iaitu Hari Pekerja jatuh pada hari Ahad, dan ia akan dibawa ke Isnin.

Raya pertama dan kedua pula pada 3 dan 4 Mei, ditambah dua hari 5 dan 6 Mei yang diberikan cuti oleh Kementerian Pendidikan.

Secara mudahnya, sekolah akan bercuti bermula 29 April hingga 7 Mei (mengikut negeri). Rayalah puas-puas. Balas dendam orang kata.

Tambahan pula, lebih 5.3 juta rakyat Malaysia ‘kaya’ apabila bakal menerima RM10,000 bermula semalam selepas pengeluaran khas wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diluluskan.

Sedikit ingatan supaya jangan boros sangat, beringat ketika berbelanja. Pengeluaran khas ini adalah yang terakhir diberikan KWSP kepada pencarum memerlukan.

Persoalannya, bagi yang sudah berkahwin, sudah undi ke nak balik kampung siapa dahulu? Kalau ikut permainan budak-budak, dah ‘osom’?

Jika berasal satu kampung, itu tiada masalah. Bagaimana jika si suami berasal dari utara, si isteri dari selatan?

Sedikit pesanan kepada mereka yang sudah berkahwin, bincanglah elok-elok. Memang raya setahun sekali tetapi tidak bermakna kita nak bergaduh suami isteri semata-mata giliran beraya.

Isu bergaduh giliran balik berhari raya mungkin remeh bagi sebahagian pasangan, tetapi jangan main-main, ia boleh mencetuskan pergaduhan dalam rumah tangga.

Nampak seperti isu remeh, tetapi ia boleh berlarutan sehingga boleh menjejaskan keharmonian dan membawa kepada perceraian.

Bukan hanya kes suami yang mendominasi giliran berhari raya setiap tahun di kampung halamannya, malah ada juga kes setiap tahun isteri memaksa suami balik berhari raya di kampungnya dengan pelbagai alasan.

Pokok pangkalnya, berbincang dan kena ada tolak ansur. Sebagai suami dan lelaki matang, ia boleh dibincangkan dengan lapang dada.

Mentua pun ibarat ibu bapa kandung, jadi seorang suami yang mengizinkan isteri pulang berhari raya ke kampungnya akan mendapat pahala.

Sebenarnya komunikasi antara suami isteri itu amat penting. Bagi penulis, tidak salah jika diutamakan kepada isteri atau suami yang tidak mempunyai adik beradik ramai.

Penulis mempunyai seorang kawan yang berpeluang untuk berhari raya dengan keluarga sendiri kerana keluarga suami terletak di Sabah.

Sahabat itu pula seorang anak tunggal namun mujur mertuanya amat memahami situasi tersebut dan meminta agar kawan penulis itu beraya di kampungnya terlebih dahulu.

Jika ada rezeki lebih mereka akan pulang ke Beaufort, Sabah pada raya keempat atau kelima seperti kebiasaannya.

Bagaimanapun, situasi tahun ini berbeza kerana kedua-duanya juga sudah lama tidak berjumpa dengan ibu bapa masing-masing maka mereka mengambil keputusan untuk beraya berasingan.

Apapun asal mereka berdua bahagia dan dapat menggembirakan kedua-dua ibu bapa mereka. Inilah yang dikatakan komunikasi dan pengorbanan itu penting. Apa-apa pun, bincang elok-elok okay.

* Syajaratulhuda Mohd Rosli ialah wartawan Sinar Harian Utara