Waspada taktik penipuan geng scammer

No Image Caption
A
A
A

MASALAH penipuan wang atau scammer bukan sesuatu yang baru.

Ia adalah sindiket penipuan yang berlaku di alam maya dengan pemangsa akan mendapatkan kepercayaan daripada mangsa menggunakan janji-janji manis, gertakan atau jaminan palsu, lalu mengakibatkan pencerobohan data peribadi dan mangsa mengalami kerugian wang tunai.

Ironinya, jenayah itu tidak mengenal mangsa apabila hampir semua lapisan masyarakat termasuk golongan profesional yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi turut menjadi mangsa.

Kepesatan kemajuan teknologi dan kecenderungan masyarakat untuk banyak berurusan dalam talian juga turut menjadi faktor memudahkan aktiviti penjenayah terbabit.

Anehnya, walaupun banyak kempen dilaksanakan, banyak amaran diberikan dan banyak juga kes mangsa scammer dilaporkan, ia seolah-olah tidak memberikan sebarang kesan, malah semakin ramai mangsa terjerat.

Misalnya, pada 21 Mac lalu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain melaporkan seorang balu mengalami kerugian hampir RM3.9 juta selepas ditipu sindiket Love Scam.

Mangsa berkenalan dengan seorang lelaki menerusi laman Instagram.

Kenapa masih ramai tertipu? Adakah mereka tidak pernah ambil tahu kes-kes penipuan sebegini? Adakah mereka rasa diri kebal kerana mereka orang terpelajar dan pasti tidak boleh tertipu?

Artikel Berkaitan:

Atau apakah ada sebab-sebab lain mereka mudah mempercayai janji-janji scammer ini?

Justeru, masyarakat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan taktik digunakan scammer. Jangan mudah terpedaya dan paling penting jangan panik.

Andainya anda dihubungi oleh orang tidak dikenali yang meminta membayar sejumlah wang atau maklumat peribadi seperti akaun bank, meminta anda membuat suatu keputusan dengan segera atau menawarkan hadiah cabutan bertuah – yakinlah dia sebenarnya adalah scammer!

Kepada kira-kira 5.3 pencarum yang memohon Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), anda mungkin dalam radar sindiket scammer.

Jadi, berhati-hatilah atau anda mungkin berisiko kehilangan wang yang dinanti-nantikan.