Gendang PRU15 dipalu bila-bila masa

No Image Caption
A
A
A

NAMPAKNYA gendang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mungkin akan dipalu bila-bila masa dalam waktu terdekat apabila kesemua gabungan parti terbesar negara sudah memuktamadkan calon Perdana Menteri (PM).

Selepas UMNO pada Khamis lalu mengumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon PM ke-10 bagi Barisan Nasional (BN), Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengesahkan dirinya adalah calon PM mewakili Pakatan Harapan (PH).

Sebelum itu juga, Perikatan Nasional (PN) turut mengumumkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon PM.

Tiga figura besar dalam arena politik negara itu sememangya memiliki pengaruh dan kekuatan masing-masing yang dilihat boleh membantu parti mereka untuk menang dalam PRU15 nanti.

Selaku penyandang PM, populariti Ismail Sabri ketika ini tidak dapat disangkal apatah lagi apabila kerajaan baru-baru ini membenarkan pengeluaran khas RM10,000 dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pastinya 5.3 juta pencarum KWSP yang layak mengeluarkan dana persaraan mereka itu amat menghargai keprihatinan kerajaan pimpinan Ahli Parlimen Bera tersebut terhadap rakyat marhaen yang dalam kesempitan.

Wang itu sememangnya amat diperlukan untuk kelangsungan hidup serta sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi apatah lagi Syawal kali ini rakyat tidak lagi terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas dua tahun tidak dapat pulang beraya di kampung halaman.

Pengaruh Muhyiddin atau lebih popular dengan gelaran 'Abah' juga tidak dapat disangkal kerana walaupun menjadi PM paling singkat dalam sejarah negara iaitu cuma 17 bulan, beliau cukup disenangi rakyat.

Artikel Berkaitan:

Tempoh pentadbiran beliau dilihat detik paling getir apabila negara berhadapan dengan wabak Covid-19 dan dalam keadaan sukar itu kerajaan dilihat sedaya upaya membantu rakyat menerusi siri pakej rangsangan ekononomi yang dilakukan.

Media pada April tahun lalu melaporkan, tinjauan dijalankan firma kajian pendapat, Merdeka Centre mendapati sokongan rakyat kepada Muhyiddin kekal tinggi kerana beliau disifatkan pemimpin yang membela nasib serta keperluan mereka secara berterusan.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sebanyak 67 peratus hasil kajian diperoleh Muhyiddin itu, membuktikan majoriti rakyat sayang kepada pemimpin seperti beliau.

Aura Anwar juga tidak dapat dinafikan kerana beliau sememangnya memiliki penyokong tegar dari dahulu sehingga sekarang.

Ketika mengesahkan namanya masih calon tunggal PM sekiranya PH berjaya merampas pentadbiran negara pada PRU15, Anwar menegaskan bukan menjadi keutamaan kepada PH ketika ini untuk menamakan calon PM atau 'poster boy' mewakili gabungan parti berkenaan.

Sebaliknya, Pengerusi PH itu berkata, menyantuni dan membantu rakyat merupakan perkara penting yang perlu diberi perhatian.

Dengan senarai nama calon PM yang ketika ini dikira sudah lengkap, bahang PRU15 kian terasa dan rakyat hanya menunggu Parlimen dibubarkan.

Episod 'hitam' berdepan pandemik Covid-19 yang ditambah buruk dengan krisis politik, pastinya akan mempengaruhi rakyat untuk memilih pemimpin dan parti yang benar-benar mampu membela nasib mereka.