MAIPk agih bantuan raya RM9.18 juta

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) berkenan menyampaikan replika cek sumbangan bantuan zakat kepada Wakil Penerima Daerah Kerian, Mohammad Ridzuwan Mohamed (kiri) pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan di Masjid Sultan Azlan Shah malam Isnin. - Foto Bernama
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) berkenan menyampaikan replika cek sumbangan bantuan zakat kepada Wakil Penerima Daerah Kerian, Mohammad Ridzuwan Mohamed (kiri) pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan di Masjid Sultan Azlan Shah malam Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah di sini pada Isnin.

Turut berangkat, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin pada jam 8.25 malam itu disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Yusop Husin.

Dalam majlis itu, baginda berkenan mengurniakan watikah pelantikan dua anggota MAIPk yang baharu iaitu Toh Maharaja Indera, Dr Khairil Anuar Arshad dan Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohamed Shah Redza Hussein.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri daripada dana zakat MAIPk berjumlah lebih RM8.33 juta kepada penghulu dari 12 daerah yang mewakili 33,342 penerima terdiri daripada asnaf fakir dan miskin seluruh Perak.

Daerah Kinta menerima agihan tertinggi iaitu RM2.3 juta diikuti Larut Matang Selama (RM1.1 juta), Perak Tengah (RM801,750), Kerian (RM714,750), Hulu Perak (RM655,750), Kuala Kangsar (RM651,500).

Sementara itu, daerah Manjung dengan jumlah agihan sebanyak RM543,000, Hilir Perak (RM362,750), Bagan Datuk (RM325,000), Kampar (RM300,750), Muallim (RM296,000) dan Batang Padang (RM285,750).

Artikel Berkaitan:

Selesai majlis, baginda berkenan menunaikan solat Isyak diikuti solat sunat tarawih secara berjemaah sebelum berangkat pulang.

Majlis yang bermula jam 6 petang itu dimulakan dengan tazkirah khas Nuzul al-Quran diikuti bacaan ayat suci al-Quran, tahlil dan doa selamat serta majlis berbuka puasa yang dihadiri lebih 300 jemaah.

Dalam pada itu, MAIPk dalam satu kenyataan memaklumkan, agihan bantuan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini melibatkan jumlah keseluruhan lebih RM9.18 juta dengan 36,754 penerima.

"Agihan itu meliputi asnaf fakir dan miskin serta asnaf mualaf seramai 3,412 orang dengan agihan berjumlah RM853,000," katanya.

Kenyataan sama turut memaklumkan, komposisi anggota MAIPk yang dilantik adalah daripada kalangan mereka yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran masing-masing dalam memperkasakan agenda memartabatkan ummah.

Katanya, Dr Khairil Anuar berpengalaman luas dalam pengurusan organisasi, menganalisa data dan pemodelan matematik selain bergiat aktif dalam memberi ceramah motivasi, pembelajaran matematik, usahawan, dan program Service Learning Malaysia-University For Society (SULAM).

"Mohamed Shah Redza pula mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar, korporat dan perkhidmatan teknologi juga Pengarah Projek Khas Earth And Sea Observation System (EASOS) Agensi Angkasa UK," ujar kenyataan itu.