Veteran ATM tidak berpencen, balu dapat bantuan khas Aidilfitri

Ikmal Hisham bercakap pada sidang media Majlis Perjumpaan, Berbuka Puasa dan Ramah Mesra bersama Persatuan-Persatuan Veteran ATM di Dewan Perkasa Wisma Perwira ATM pada Isnin. - Foto Bernama
Ikmal Hisham bercakap pada sidang media Majlis Perjumpaan, Berbuka Puasa dan Ramah Mesra bersama Persatuan-Persatuan Veteran ATM di Dewan Perkasa Wisma Perwira ATM pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM250 turut diberikan kepada veteran dan balu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Beliau berkata, bantuan membabitkan peruntukan berjumlah RM23 juta itu bakal memberi manfaat kepada sejumlah 92,013 veteran dan balu veteran ATM yang tidak berpencen.

"Mereka bakal menerima wang ini pada 21 April, diharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban veteran yang tidak berpencen untuk meraikan Aidilfitri," katanya pada sidang media pada Majlis Perjumpaan, Berbuka Puasa dan Ramah Mesra Bersama Persatuan-Persatuan Veteran ATM di Wisma Perwira ATM di sini pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Ahmad Nadzri Mohd Hassan; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Mengulas sesi dialog bersama veteran ATM pada majlis itu, Ikmal Hisham berkata, antara isu utama yang dibangkitkan ialah jurang pencen anggota yang bersara selepas dan sebelum 2013.

"Turut dibangkitkan Elaun Kenangan kepada veteran ATM yang menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) selain tuntutan bil dan peralatan hospital kerana ada yang menerima rawatan tetapi tidak boleh melakukan tuntutan,” katanya.

Beliau berkata, banyak isu lain turut dibangkitkan kerana terdapat 121 persatuan induk membabitkan veteran ATM dan 80 persatuan hadir hari ini yang mewakili pelbagai latar belakang.

"Tentulah masalah dan fokus mereka berbeza. Bagaimanapun, kita mengambil maklum apa masalah utama dan akan membawanya ke peringkat atasan khususnya kepada (Menteri Kanan Pertahanan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, JHEV ATM menerima sumbangan zakat daripada institusi perbankan Affin Hwang Investment sebanyak RM360,000 yang akan diagih kepada asnaf veteran ATM. - Bernama