Kerajaan belum buat keputusan bawa balik rakyat Malaysia di Rusia

Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan belum membuat keputusan untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Rusia yang terkesan akibat sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap negara itu.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat secara sidang video dengan rakyat Malaysia di Moscow dalam masa terdekat untuk mendengar masalah mereka.

"Ada satu dua isu berkaitan penghantaran wang yang sedang mereka hadapi," katanya pada sidang media selepas mengumumkan pelantikan Jawatankuasa Belia untuk Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi, di sini pada Isnin.

Rusia dikenakan pelbagai sekatan ekonomi termasuk oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah berikutan operasi ketenteraannya ke atas Ukraine sejak 24 Februari lepas.

Susulan sekatan berkenaan, sesetengah rakyat Malaysia di negara itu mungkin berdepan gangguan dalam mengakses perkhidmatan perbankan dan kewangan seperti Pindahan Dana Elektronik (EFT) dari Malaysia ke akaun mereka dengan bank tertentu di Persekutuan Rusia.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa terdapat rakyat Malaysia yang masih berada di Ukraine, Saifuddin berkata, beliau dimaklumkan sebahagian daripada mereka telah pulang manakala selebihnya memilih untuk tinggal di negara-negara jiran.

"Ada yang memilih untuk berada di Poland dan ada yang melalui Poland untuk ke negara lain. Ini sahaja setakat yang kita ada makluman," katanya.

Mengenai Jawatankuasa Belia untuk Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi, Saifuddin berkata, ia dipengerusikan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid dan dianggotai oleh 13 ahli.

Artikel Berkaitan:

Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi memudahkan Kementerian Luar membantu dan memfasilitasi penglibatan belia Malaysia dalam isu-isu dan program-program antarabangsa.

"Dasar luar dan kerja-kerja hal ehwal antarabangsa ini juga melibatkan diplomasi awam. Di sini letaknya kepentingan jawatankuasa ini kerana peranan belia dalam diplomasi awam sebenarnya sangat besar, cuma kita belum menerokanya dengan sebegitu serius.

"Ada banyak perkara yang boleh dilakukan oleh golongan belia untuk membantu Malaysia mencapai objektif-objektif dasar luar yang sedia ada," katanya. - Bernama