Dua maut kemalangan berasingan

Penunggang motosikal yang maut.
Penunggang motosikal yang maut.
A
A
A

KLUANG - Dua lelaki maut dalam kemalangan berasingan melibatkan penunggang motosikal serta pemandu kereta di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam dan Jalan Yong Peng-Kluang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam kejadian pertama kira-kira jam 3.20 pagi di KM 83 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, seorang penunggang motosikal, Muhamad Zulfikar Jono, 23, maut di tempat kejadian.

"Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku sewaktu mangsa dari arah Simpang Renggam menghala ke Air Hitam. Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa telah bergesel dengan sebuah lagi motosikal dari arah yang sama.

"Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan raya dan Mohamad Zulfikar maut serta-merta di tempat kejadian kerana cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Kaslom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat manakala seorang lagi penunggang motosikal, Muhamad Hafizee Mohamad Rafiee, 18, cedera parah dan sedang menerima rawatan di hospital yang sama.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati lokasi kemalangan adalah jalan lurus yang mempunyai garisan putih putus-putus selain permukaan bertar. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang pemandu kereta, M Kalai Venthan, 29, maut di KM 76 Jalan Yong Peng-Kluang kira-kira jam 6.50 pagi tadi selepas kereta yang dipandu hilang kawalan sebelum terbabas.

Artikel Berkaitan:

Pemandu kereta yang maut dalam kemalangan berkenaan.
Pemandu kereta yang maut dalam kemalangan berkenaan.

"Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila mangsa arah Jalan Teck Wah Hing menghala ke bulatan Taman Sri Lambak dan sewaktu tiba di tempat kejadian, kereta mangsa hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar pagar Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kluang.

"Akibat pelanggaran, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana hentakan kuat di kepala sebelum dibawa ke Unit Forensik HEBHK untuk dibedah siasat," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 dan siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan kemalangan adalah jalan berselekoh dan mempunyai garisan putih berkembar selain permukaan jalan bertar.